Monday, November 17, 2008

PAS dan Isu Hubungan Antara Kaum di Malaysia

Sepanjang dua minggu yang lepas, saya tidak sempat untuk menulis di dalam blog ini. Banyak isu yang berlalu yang saya tidak dapat turut sama memberi pandangan. Antara yang paling penting dan menarik adalah beberapa isu yang melibatkan status hubungan antara kaum termasuklah kenyataan Naib Presiden MCA, Datuk Liow Tiong Lai yang mencadangkan penghapusan kuota 30% bumiputera dalam penyenaraian syarikat awam, pertikaian atas perlantikan pemangku Pengurus Besar baru PKNS dan penetapan kuota 50% untuk Bumiputera dalam penjualan perumahan di negeri Kedah.

Hubungan antara kaum merupakan satu subjek unik yang cukup penting dalam seni politik Malaysia. Menangani polisi yang melibatkan kepentingan kaum merupakan sesuatu yang cukup mencabar bagi mana-mana kerajaan samada di peringkat persekutuan mahupun kerajaan negeri. Sebagai kerajaan bagi rakyat berbilang kaum, mereka mesti mempunyai keupayaan untuk melaksanakan polisi pentadbiran yang boleh memberi keadilan kepada semua kaum.

Kadangkala, pemimpin politik cenderung mengambil jalan mudah apabila mengeluarkan pendirian mengenai isu yang melibatkan kepentingan kaum dengan cuba menjadi hero kepada sesuatu kaum tertentu. Lebih-lebih lagi dalam sistem politik kepartian berasaskan kaum di Malaysia, setiap parti terpaksa menjadi suara pendesak kepada kaum yang menjadi majoriti dalam parti masing-masing untuk bersaing dengan parti lawannya.

Saya percaya ini bukanlah sesuatu yang sihat untuk politik negara. Pemimpin politik dalam mana-mana parti bukan sahaja mewakili kaum majoriti dalam partinya, tetapi mesti mampu mewakili semua kaum yang ada dalam negara.

PAS juga berdepan dengan cabaran besar dalam menentukan sikap politik dalam isu yang melibatkan hubungan kaum dalam negara. Sebagai sebuah parti Islam, PAS secara majoritinya diwakili oleh umat Islam yang terdiri dari kaum Melayu. Tetapi, hakikat ini sepatutnya tidak menjadikan PAS sebagai sebuah parti yang memperjuangkan kepentingan Melayu semata-mata, tetapi PAS mesti memperjuangkan keadilan seperti yang dianjurkan Islam kepada semua rakyat tanpa mengira kaum.

Memberikan keadilan kepada semua kaum tidak bererti memberikan kesamarataan hak kepada semua kaum dalam semua perkara. Setiap polisi yang melibatkan konflik dalam kepentingan kaum perlu mengambil kira semua faktor termasuk latarbelakang sejarah, peruntukan perlembagaan dan perundangan, status sosial dan ekonomi. Pada masa yang sama, tahap sensitiviti antara kaum dan keselamatan negara juga perlu dipertimbangkan.

Saya percaya Datuk Liow cuba menarik perhatian kaum Cina apabila mempersoalkan kuota 30% bumiputera baru-baru ini. Mungkin alasan untuk menjadikan syarikat senaraian awam negara lebih kompetitif ada asasnya, tetapi mempertaruhkan kuota 30% bumiputera (dalam masa ekuiti bumiputera masih di bawah paras 20%) bukan satu pilihan yang wajar dipandang mudah.

Dalam isu perlantikan pemangku Pengurus Besar baru PKNS, PAS tidak mempersoalkan perlantikan tersebut atas alasan beliau seorang bukan Melayu tetapi hanya dari sudut kelayakan. Apa yang menjelekkan adalah sikap buruk media yang cuba melaga-lagakan PAS dan parti-parti Pakatan Rakyat dengan memutarbelitkan kenyataan pemimpin PAS.

Di sebelah utara pula, sehingga hari ini kerajaan Kedah terpaksa berhempas pulas mempertahankan keputusan menaikkan kuota perumahan kepada bumiputera sehingga 50%. Hasrat kerajaan Kedah untuk memberikan lebih peluang kepada bumiputera memiliki rumah di kawasan bandar dan pinggir bandar wajar diperhalusi. Tidak sepatutnya timbul bantahan daripada kaum bukan bumiputera kerana kadar 50% untuk bukan bumiputera masih lagi kadar yang munasabah berdasarkan komposisi penduduk berasaskan kaum di negeri Kedah. Walaubagaimanapun faktor pasaran mungkin menjadi kerisauan di kalangan syarikat-syarikat pemaju perumahan. Kelembapan dalam memasarkan setiap projek yang dilancarkan boleh mengganggu kelancaran projek dan menimbulkan banyak masalah kepada banyak pihak termasuk kerajaan. Saya percaya kerajaan Kedah telah membuat persediaan sewajarnya dalam soal ini.

Sunday, November 16, 2008

Kempen Jom Join PAS

Alhamdulillah, semalam saya selesai membentangkan kertas konsep “Kempen Jom Join PAS” dan telah mendapat endosmen dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat. Insha Allah, Kempen ini akan menjadi aktiviti utama Pemuda PAS seluruh negara sepanjang tempoh 5 bulan akan datang bagi mendekatkan Pemuda PAS dengan generasi muda Malaysia dan seterusnya mengajak mereka untuk bersama PAS dalam usaha pembinaan masyarakat dan pembangunan negara.

Selepas PRU-12, sokongan dan perhatian rakyat kepada PAS semakin bertambah. PAS mula menarik minat bukan sahaja di kalangan masyarakat Melayu (di bandar dan desa) malah semakin mendapat tempat di hati bukan Melayu dan bukan Islam di seluruh negara.

Di kalangan generasi muda, PAS dilihat sebagai satu pilihan munasabah untuk menjadi parti tunggak masyarakat Melayu menggantikan UMNO yang sekarang ini bergelut dengan krisis kepimpinan dan rasuah politik.

Bagi negeri-negeri di mana Pakatan Rakyat menjadi kerajaan, Pemuda PAS berterusan menerima kemasukan sejumlah besar anak-anak muda yang datang menawarkan diri untuk bersama memberikan sumbangan mereka untuk PAS termasuk di kalangan anak-anak muda Cina dan India.

Justeru, dalam suasana rakyat memberikan perhatian dan kesudian untuk mendekati PAS, PAS perlu membuka pintu seluas-luasnya kepada mereka. Mungkin di sana ramai lagi yang bersedia untuk menawarkan sumbangan, bersedia untuk menjadi ahli PAS atau Kelab Penyokong PAS tapi masih belum cukup didekati. Mungkin juga ada yang belum mendapat cukup maklumat untuk membuatkan mereka terbuka hati untuk bersama membantu perjuangan PAS. Moga-moga dengan adanya usaha kempen begini, Pemuda PAS akan berjaya mendekati dan menyampaikan hasrat PAS kepada mereka untuk mengajak mereka bersama-sama memberikan sumbangan kepada usaha PAS membangunkan masyarakat dan negara.

Kempen yang akan berlangsung selama lima bulan ini akan dilaksanakan melalui pelbagai medium promosi dan pelaksanaan aktiviti yang mampu menarik perhatian terutamanya golongan muda dalam negara. Antara medium promosi yang akan digunakan adalah menerusi kempen rumah ke rumah, edaran bahan kempen di tempat awam, kempen menerusi sms, email, laman web dan blog serta promosi melalui paparan mesej dan logo kempen pada barangan seperti t-shirt, topi, sticker kereta, poster dan banner. Dalam tempoh yang sama, Pemuda PAS akan melaksanakan pelbagai aktiviti yang bersifat inklusif kepada semua kelompok golongan muda seperti kegiatan sukan dan rekreasi, hiburan, sukarelawan, pendidikan dan kerjaya.

Kempen ini juga mensasarkan untuk mendaftarkan seramai mungkin golongan muda yang layak untuk menjadi pengundi dalam daftar pemilih. Pada PRU-12 seramai 4 juta rakyat yang telah layak untuk mendaftar sebagai pemilih telah gagal berdaftar. Angka tersebut akan menjadi lebih besar dengan tambahan 2 juta anak-anak muda yang bakal mencapai umur kelayakan menjelang PRU-13 yang akan datang. Pemuda PAS mesti berperanan untuk mengajak generasi muda Malaysia melaksanakan tanggungjawab mereka mengundi dan menyertai proses demokrasi dalam negara.

Insha Allah, Kempen Jom Join PAS anjuran Dewan Pemuda ini akan dilancarkan oleh Presiden PAS pada 27 Disember 2008. Saya memohon sokongan dari semua rakan-rakan untuk membantu menyebarluaskan kempen ini mengikut kemampuan masing-masing terutamanya dengan memanjangkan emel kempen yang bakal diterima dan sudi meletakkan logo kempen pada blog anda dan pada laman-laman web yang berkenaan.

Moga PAS makin mendapat tempat di hati masyarakat Malaysia lebih-lebih lagi di kalangan generasi muda tidak kira bangsa dan agama. Insha Allah!