Monday, November 17, 2008

PAS dan Isu Hubungan Antara Kaum di Malaysia

Sepanjang dua minggu yang lepas, saya tidak sempat untuk menulis di dalam blog ini. Banyak isu yang berlalu yang saya tidak dapat turut sama memberi pandangan. Antara yang paling penting dan menarik adalah beberapa isu yang melibatkan status hubungan antara kaum termasuklah kenyataan Naib Presiden MCA, Datuk Liow Tiong Lai yang mencadangkan penghapusan kuota 30% bumiputera dalam penyenaraian syarikat awam, pertikaian atas perlantikan pemangku Pengurus Besar baru PKNS dan penetapan kuota 50% untuk Bumiputera dalam penjualan perumahan di negeri Kedah.

Hubungan antara kaum merupakan satu subjek unik yang cukup penting dalam seni politik Malaysia. Menangani polisi yang melibatkan kepentingan kaum merupakan sesuatu yang cukup mencabar bagi mana-mana kerajaan samada di peringkat persekutuan mahupun kerajaan negeri. Sebagai kerajaan bagi rakyat berbilang kaum, mereka mesti mempunyai keupayaan untuk melaksanakan polisi pentadbiran yang boleh memberi keadilan kepada semua kaum.

Kadangkala, pemimpin politik cenderung mengambil jalan mudah apabila mengeluarkan pendirian mengenai isu yang melibatkan kepentingan kaum dengan cuba menjadi hero kepada sesuatu kaum tertentu. Lebih-lebih lagi dalam sistem politik kepartian berasaskan kaum di Malaysia, setiap parti terpaksa menjadi suara pendesak kepada kaum yang menjadi majoriti dalam parti masing-masing untuk bersaing dengan parti lawannya.

Saya percaya ini bukanlah sesuatu yang sihat untuk politik negara. Pemimpin politik dalam mana-mana parti bukan sahaja mewakili kaum majoriti dalam partinya, tetapi mesti mampu mewakili semua kaum yang ada dalam negara.

PAS juga berdepan dengan cabaran besar dalam menentukan sikap politik dalam isu yang melibatkan hubungan kaum dalam negara. Sebagai sebuah parti Islam, PAS secara majoritinya diwakili oleh umat Islam yang terdiri dari kaum Melayu. Tetapi, hakikat ini sepatutnya tidak menjadikan PAS sebagai sebuah parti yang memperjuangkan kepentingan Melayu semata-mata, tetapi PAS mesti memperjuangkan keadilan seperti yang dianjurkan Islam kepada semua rakyat tanpa mengira kaum.

Memberikan keadilan kepada semua kaum tidak bererti memberikan kesamarataan hak kepada semua kaum dalam semua perkara. Setiap polisi yang melibatkan konflik dalam kepentingan kaum perlu mengambil kira semua faktor termasuk latarbelakang sejarah, peruntukan perlembagaan dan perundangan, status sosial dan ekonomi. Pada masa yang sama, tahap sensitiviti antara kaum dan keselamatan negara juga perlu dipertimbangkan.

Saya percaya Datuk Liow cuba menarik perhatian kaum Cina apabila mempersoalkan kuota 30% bumiputera baru-baru ini. Mungkin alasan untuk menjadikan syarikat senaraian awam negara lebih kompetitif ada asasnya, tetapi mempertaruhkan kuota 30% bumiputera (dalam masa ekuiti bumiputera masih di bawah paras 20%) bukan satu pilihan yang wajar dipandang mudah.

Dalam isu perlantikan pemangku Pengurus Besar baru PKNS, PAS tidak mempersoalkan perlantikan tersebut atas alasan beliau seorang bukan Melayu tetapi hanya dari sudut kelayakan. Apa yang menjelekkan adalah sikap buruk media yang cuba melaga-lagakan PAS dan parti-parti Pakatan Rakyat dengan memutarbelitkan kenyataan pemimpin PAS.

Di sebelah utara pula, sehingga hari ini kerajaan Kedah terpaksa berhempas pulas mempertahankan keputusan menaikkan kuota perumahan kepada bumiputera sehingga 50%. Hasrat kerajaan Kedah untuk memberikan lebih peluang kepada bumiputera memiliki rumah di kawasan bandar dan pinggir bandar wajar diperhalusi. Tidak sepatutnya timbul bantahan daripada kaum bukan bumiputera kerana kadar 50% untuk bukan bumiputera masih lagi kadar yang munasabah berdasarkan komposisi penduduk berasaskan kaum di negeri Kedah. Walaubagaimanapun faktor pasaran mungkin menjadi kerisauan di kalangan syarikat-syarikat pemaju perumahan. Kelembapan dalam memasarkan setiap projek yang dilancarkan boleh mengganggu kelancaran projek dan menimbulkan banyak masalah kepada banyak pihak termasuk kerajaan. Saya percaya kerajaan Kedah telah membuat persediaan sewajarnya dalam soal ini.

1 comment:

Unknown said...

Akhirnya.....update kembali