Friday, December 26, 2008

Hudud - Bukan Islam Tidak Perlu Risau

Isu hangat yang cuba dimainkan media dua tiga hari terakhir ini adalah isu kenyataan Naib Presiden PAS, Dato’ Husam Musa bahawa PAS tetap akan melaksanakan hudud sekiranya berjaya menguasai pentadbiran kerajaan persekutuan kelak. Dan semalam, ketika saya singgah di Pejabat Agung PAS untuk mengambil pegawai saya dalam perjalanan ke Shah Alam, saya diminta untuk menerima serahan memorandum dari Pemuda MCA Wilayah yang membantah cadangan pelaksanaan hudud.

Pertamanya, saya mesti menyokong kenyataan Dato’ Husam mengenai hudud dan saya percaya semua pihak yang mendokong perjuangan PAS akan mengambil pendirian yang sama.

Keduanya, saya faham kerisauan Pemuda MCA dan mungkin dikongsi sama sebahagian besar dari kalangan rakyat Malaysia yang bukan beragama Islam terhadap pendirian PAS ini. Malangnya kerisauan ini berasaskan hanya kepada propaganda yang disampaikan oleh mereka yang menentang hudud. Sedangkan PAS mempunyai ruang yang cukup terhad untuk menjelaskan apa sebenarnya hudud kepada mereka.

Saya teringat semasa hadir ke satu persidangan pemimpin muda Asia Pasifik di Hawaii pada tahun 2002 bersama wakil DAP Mr. Thomas Su (sekarang ini Yang Berhormat Exco Pendidikan dalam Kerajaan Pakatan Rakyat di Perak). Kami masing-masing diminta membuat pembentangan dan Thomas memilih untuk bercakap tentang pengisytiharan negara Islam oleh Dr Mahathir pada ketika itu dan menyatakan penentangannya terhadap penubuhan negara Islam.

Semasa minum, saya menanyakan beliau kenapa beliau menentang pelaksanaan hukum Islam dalam negara. Jawab beliau nanti orang bukan Islam tak boleh minum arak lagi. Saya agak terkejut kerana pada sangkaan saya, orang politik seperti beliau sudah tahu hakikat bahawa pemerintahan Islam tidak menghalang bukan Islam untuk meminum arak. Sekiranya beliau yang pada ketika itu pimpinan DAPSY tidak tahu, apatah lagi rakyat bukan Islam yang lain.

Kesangsian seperti inilah yang menjadi asas ketakutan dan penentangan bukan Islam terhadap hudud.

Maka, PAS mempunyai satu tanggungjawab dan cabaran yang cukup besar untuk menjelaskan maksud dan rupa sebenar hudud kepada bukan Islam sehingga mereka faham dan boleh menerimanya. Mungkin sebelum ini dalam ruang media yang sangat sempit dan akses kepada bukan Islam yang terhad menyebabkan kita gagal menjelaskan kepada mereka tentang hudud. Tapi sekarang, ruang media agak terbuka (sekurang-kurangnya melalui internet) dan hubungan dengan kaum bukan Islam sangat erat. Maka, apa lagi yang kita tunggu?

Dan hari ini, setelah DAP bersama dengan PAS dalam satu kerajaan di Perak, saya percaya rakan saya, Thomas lebih mengenali keadilan pentadbiran Islam dan mungkin telah bersedia untuk menerima pelaksanaan hudud pada masa hadapan.

Thursday, December 25, 2008

Kempen JOM SERTAI PAS


Saya mewakili Dewan Pemuda PAS dan Lajnah Pemerkasaan PAS menjemput anda semua ke Majlis Perasmian Kempen JOM SERTAI PAS pada hari Sabtu 27 Disember 2008 bertempat di Dataran Shah Alam, Shah Alam, Selangor. Majlis Perasmian akan disempurnakan oleh YB Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS.

Majlis akan turut diserikan dengan kehadiran khas Kapten (B) Datuk Zahar Hashim, bekas Ketua Bahagian UMNO Petaling Jaya Selatan yang baru mengisytiharkan menyertai PAS bersama 28 ketua cawangan UMNO bahagiannya dalam satu majlis semalam.

Datanglah beramai-ramai!

Sunday, December 14, 2008

Suruhanjaya Perlantikan Kehakiman – Pulihkah Kebebasan Kehakiman Malaysia?

Semasa saya menulis posting terdahulu “Syabas Pak Lah”, saya masih berada di kampung (Besut) bercuti sempena Aidil Adha. Pulang ke Kuala Lumpur, saya terus menghubungi beberapa ahli Parlimen PAS untuk mendapatkan salinan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Perlantikan Kehakiman dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. Malang, kedua-duanya tidak sampai ke tangan atas pelbagai halangan.

Sebagai pilihan, saya memuat turun salinan Rang Undang-Undang tersebut dari laman web rasmi Parlimen Malaysia, tapi tidak berjaya melengkapkan muat turun Rang Undang-Undang Pencegahan Rasuah - masalah teknikal.

Saya sempat meneliti salinan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Perlantikan Kehakiman (SPK) yang akan mula dibahaskan di Parlimen esok. Saya juga sempat meneliti beberapa kritikan awal terhadap rang undang-undang tersebut.

Pada asasnya kita semua menuntut perubahan dalam sistem kehakiman dan pentadbiran keadilan dalam negara. Sebarang bentuk usaha ke arah perubahan tersebut perlu diberi perhatian dan disokong dengan pendekatan konstruktif untuk membolehkannya mencapai objektif sebenar perubahan yang dituntut.

Sekali lagi saya tegaskan, objektif perubahan yang dituntut dalam sistem kehakiman negara adalah membebaskan institusi kehakiman dari cengkaman kuasa eksekutif negara. Noktah!

Malangnya, walaupun rang undang-undang SPK seperti yang dibentangkan pada Khamis lepas telah memperakui tanggungjawab Perdana Menteri dalam mendukung dan mempertahankan kebebasan kehakiman dan menyediakan sistem baru dalam proses perlantikan hakim, ia masih belum menghilangkan kerisauan terhadap kemungkinan wujud campurtangan tidak wajar kuasa eksekutif terutamanya Perdana Menteri sendiri dalam proses tersebut.

Asas kepada kerisauan ini adalah seperti berikut:-

Pertama, Suruhanjaya ini hanya berfungsi untuk membuat rekomendasi kepada Perdana Menteri dan bukan kepada Yang Di Pertuan Agong. Kuasa Perdana Menteri untuk menasihat YDP Agong masih kekal di bawah Perkara 122b Perlembagaan Persekutuan. Langkah yang lebih baik adalah mencadangkan pindaan Perlembagaan untuk membolehkan Suruhanjaya membuat laporan terus kepada YDP Agong.

Kedua, tiada peruntukan khusus menyatakan Perdana Menteri adalah terikat untuk mengemukakan calon-calon hakim seperti yang diketengahkan oleh Suruhanjaya. Seksyen 28 hanya memperuntukkan “Apabila Perdana Menteri telah menerima mana-mana orang yang disyorkan oleh Suruhanjaya, dia bolehlah seterusnya memberikan nasihatnya mengikut Perkara 122b Perlembagaan Persekutuan”.

Ketiga, Seksyen 27 memberikan kuasa kepada Perdana Menteri untuk meminta Suruhanjaya mengemukakan calon tambahan setelah meneliti nama-nama calon yang telah dikemukakan sebelumnya. Ini dalam erti kata lain ia memberikan kuasa kepada Perdana Menteri menolak calon-calon awal yang dikemukakan Suruhanjaya.

Keempat, komposisi keanggotaan Suruhanjaya tidak menggambarkan kebebasan sepenuhnya Suruhanjaya tersebut. Daripada sembilan anggota Suruhanjaya tersebut, lima adalah dipilih dan dilantik oleh Perdana Menteri. Empat anggota yang lain adalah lantikan berdasarkan jawatan mereka iaitu Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Mahkamah Tinggi Di Malaya dan Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak. Suruhanjaya tersebut hanya dilihat bebas dari Perdana Menteri sekiranya pemilihan lima anggota lantikan tersebut dibuat oleh institusi kenegaraan yang lain seperti YDP Agong sendiri, bukan Perdana Menteri. Dalam kaitan yang sama, kuasa pembatalan keanggotaan yang diberikan sepenuhnya kepada Perdana Menteri di bawah Seksyen 9 mesti dipinda sewajarnya.

Saya percaya ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat akan membahaskan rang undang-undang ini dengan penuh tanggungjawab dan melakarkan strategi untuk memastikan satu undang-undang yang berkesan bakal dikuatkuasakan bagi menjamin masa depan institusi kehakiman yang lebih bebas di Malaysia.

Thursday, December 11, 2008

Syabas Pak Lah!

Semalam, di Parlimen, Pak Lah membentangkan dua rang undang-undang yang saya kira cukup penting untuk masa depan Malaysia, iaitu Rang Undang-Undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah dan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Perlantikan Hakim.

Saya belum pasti apa respon pemimpin PAS dalam soal ini, tapi saya secara peribadi dan spontan memberikan ucapan tahniah untuk Pak Lah atas usaha beliau ini.

Saya percaya tindakan ini konsisten dengan desakan dan saranan pelbagai pihak sebelum ini termasuk PAS sendiri.

Malaysia sangat memerlukan pemulihan integriti dalam pentadbiran negara. Sistem kehakiman negara tidak lagi diyakini. Begitu juga rasuah dalam pentadbiran negara sudah menjadi rahsia umum.

Merombak semula sistem perlantikan hakim diharap dapat memulihkan integriti sistem kehakiman negara. Kita harap dengan adanya sistem perlantikan yang lebih adil dan bebas, tidak lagi berlaku proses lobi-melobi jawatan hakim seperti yang terlakun dalam video klip Linggam itu. Hakim yang terhutang budi dan terikat masa depannya pada kuasa eksekutif dikhuatiri hilang kemampuan untuk membuat keputusan yang bebas dan berintegriti, apabila tidak selari dengan kehendak kuasa eksekutif.

Memulihkan integriti pencegahan rasuah bererti membenarkan agensi pencegahan rasuah membanteras rasuah dengan penuh kebebasan tanpa campurtangan pihak eksekutif. Ini bermakna memberikan kuasa pencegahan rasuah menyiasat dan mendakwa mana-mana pelaku rasuah termasuk kalangan pemimpin tertinggi negara, menteri-menteri hatta Perdana Menteri sekalipun.

Sebelum ini kita selalu didedahkan tentang adanya kes-kes rasuah berprofail tinggi yang melibatkan pemimpin-pemimpin negara tetapi tidak didakwa. Mungkin BPR ada menjalankan siasatan, tetapi kuasa pendakwaan dan struktur badan pendakwaan dalam BPR masih tertakluk kepada kuasa Peguam Negara. Dan rakyat secara umumnya percaya wujud campurtangan kerajaan dalam proses tersebut.

Saya ingat perkara di atas telah beberapa kali diutarakan Dewan Pemuda PAS dalam beberapa pertemuan dengan BPR sebelum ini. (Saya ingat dua pertemuan pada tahun 2006 dengan pengurusan tertinggi BPR diketuai oleh Ketua Pengarah Datuk Seri Zulkipli Bin Mat Noor (yang juga terbabit dalam tuduhan rasuah) dan pertemuan terbaru diketuai Timbalan Ketua Pengarah II Dato’ Haji Zakaria Jaffar pada 16 September baru-baru ini.)

Moga, kedua-dua rang undang-undang yang dibentangkan semalam dibahaskan dengan teliti dan mendapat sokongan ahli-ahli Parlimen untuk dikuatkuasakan dalam kadar segera. Dan saya harap kewujudan undang-undang dan dua suruhanjaya yang baru ini dapat memulihkan integriti badan kehakiman dan badan pencegahan rasuah dalam negara dan menjadikan mereka elemen semak dan imbang (check and balance) yang berkesan dalam pentadbiran negara. Seterusnya kita harap ia dapat menamatkan kebobrokan amalan penyalahgunaan kuasa pihak eksekutif yang sudah lama merosakkan negara.

Syabas untuk semua pejuang keadilan dalan negara!