Friday, December 26, 2008

Hudud - Bukan Islam Tidak Perlu Risau

Isu hangat yang cuba dimainkan media dua tiga hari terakhir ini adalah isu kenyataan Naib Presiden PAS, Dato’ Husam Musa bahawa PAS tetap akan melaksanakan hudud sekiranya berjaya menguasai pentadbiran kerajaan persekutuan kelak. Dan semalam, ketika saya singgah di Pejabat Agung PAS untuk mengambil pegawai saya dalam perjalanan ke Shah Alam, saya diminta untuk menerima serahan memorandum dari Pemuda MCA Wilayah yang membantah cadangan pelaksanaan hudud.

Pertamanya, saya mesti menyokong kenyataan Dato’ Husam mengenai hudud dan saya percaya semua pihak yang mendokong perjuangan PAS akan mengambil pendirian yang sama.

Keduanya, saya faham kerisauan Pemuda MCA dan mungkin dikongsi sama sebahagian besar dari kalangan rakyat Malaysia yang bukan beragama Islam terhadap pendirian PAS ini. Malangnya kerisauan ini berasaskan hanya kepada propaganda yang disampaikan oleh mereka yang menentang hudud. Sedangkan PAS mempunyai ruang yang cukup terhad untuk menjelaskan apa sebenarnya hudud kepada mereka.

Saya teringat semasa hadir ke satu persidangan pemimpin muda Asia Pasifik di Hawaii pada tahun 2002 bersama wakil DAP Mr. Thomas Su (sekarang ini Yang Berhormat Exco Pendidikan dalam Kerajaan Pakatan Rakyat di Perak). Kami masing-masing diminta membuat pembentangan dan Thomas memilih untuk bercakap tentang pengisytiharan negara Islam oleh Dr Mahathir pada ketika itu dan menyatakan penentangannya terhadap penubuhan negara Islam.

Semasa minum, saya menanyakan beliau kenapa beliau menentang pelaksanaan hukum Islam dalam negara. Jawab beliau nanti orang bukan Islam tak boleh minum arak lagi. Saya agak terkejut kerana pada sangkaan saya, orang politik seperti beliau sudah tahu hakikat bahawa pemerintahan Islam tidak menghalang bukan Islam untuk meminum arak. Sekiranya beliau yang pada ketika itu pimpinan DAPSY tidak tahu, apatah lagi rakyat bukan Islam yang lain.

Kesangsian seperti inilah yang menjadi asas ketakutan dan penentangan bukan Islam terhadap hudud.

Maka, PAS mempunyai satu tanggungjawab dan cabaran yang cukup besar untuk menjelaskan maksud dan rupa sebenar hudud kepada bukan Islam sehingga mereka faham dan boleh menerimanya. Mungkin sebelum ini dalam ruang media yang sangat sempit dan akses kepada bukan Islam yang terhad menyebabkan kita gagal menjelaskan kepada mereka tentang hudud. Tapi sekarang, ruang media agak terbuka (sekurang-kurangnya melalui internet) dan hubungan dengan kaum bukan Islam sangat erat. Maka, apa lagi yang kita tunggu?

Dan hari ini, setelah DAP bersama dengan PAS dalam satu kerajaan di Perak, saya percaya rakan saya, Thomas lebih mengenali keadilan pentadbiran Islam dan mungkin telah bersedia untuk menerima pelaksanaan hudud pada masa hadapan.

Thursday, December 25, 2008

Kempen JOM SERTAI PAS


Saya mewakili Dewan Pemuda PAS dan Lajnah Pemerkasaan PAS menjemput anda semua ke Majlis Perasmian Kempen JOM SERTAI PAS pada hari Sabtu 27 Disember 2008 bertempat di Dataran Shah Alam, Shah Alam, Selangor. Majlis Perasmian akan disempurnakan oleh YB Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS.

Majlis akan turut diserikan dengan kehadiran khas Kapten (B) Datuk Zahar Hashim, bekas Ketua Bahagian UMNO Petaling Jaya Selatan yang baru mengisytiharkan menyertai PAS bersama 28 ketua cawangan UMNO bahagiannya dalam satu majlis semalam.

Datanglah beramai-ramai!

Sunday, December 14, 2008

Suruhanjaya Perlantikan Kehakiman – Pulihkah Kebebasan Kehakiman Malaysia?

Semasa saya menulis posting terdahulu “Syabas Pak Lah”, saya masih berada di kampung (Besut) bercuti sempena Aidil Adha. Pulang ke Kuala Lumpur, saya terus menghubungi beberapa ahli Parlimen PAS untuk mendapatkan salinan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Perlantikan Kehakiman dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. Malang, kedua-duanya tidak sampai ke tangan atas pelbagai halangan.

Sebagai pilihan, saya memuat turun salinan Rang Undang-Undang tersebut dari laman web rasmi Parlimen Malaysia, tapi tidak berjaya melengkapkan muat turun Rang Undang-Undang Pencegahan Rasuah - masalah teknikal.

Saya sempat meneliti salinan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Perlantikan Kehakiman (SPK) yang akan mula dibahaskan di Parlimen esok. Saya juga sempat meneliti beberapa kritikan awal terhadap rang undang-undang tersebut.

Pada asasnya kita semua menuntut perubahan dalam sistem kehakiman dan pentadbiran keadilan dalam negara. Sebarang bentuk usaha ke arah perubahan tersebut perlu diberi perhatian dan disokong dengan pendekatan konstruktif untuk membolehkannya mencapai objektif sebenar perubahan yang dituntut.

Sekali lagi saya tegaskan, objektif perubahan yang dituntut dalam sistem kehakiman negara adalah membebaskan institusi kehakiman dari cengkaman kuasa eksekutif negara. Noktah!

Malangnya, walaupun rang undang-undang SPK seperti yang dibentangkan pada Khamis lepas telah memperakui tanggungjawab Perdana Menteri dalam mendukung dan mempertahankan kebebasan kehakiman dan menyediakan sistem baru dalam proses perlantikan hakim, ia masih belum menghilangkan kerisauan terhadap kemungkinan wujud campurtangan tidak wajar kuasa eksekutif terutamanya Perdana Menteri sendiri dalam proses tersebut.

Asas kepada kerisauan ini adalah seperti berikut:-

Pertama, Suruhanjaya ini hanya berfungsi untuk membuat rekomendasi kepada Perdana Menteri dan bukan kepada Yang Di Pertuan Agong. Kuasa Perdana Menteri untuk menasihat YDP Agong masih kekal di bawah Perkara 122b Perlembagaan Persekutuan. Langkah yang lebih baik adalah mencadangkan pindaan Perlembagaan untuk membolehkan Suruhanjaya membuat laporan terus kepada YDP Agong.

Kedua, tiada peruntukan khusus menyatakan Perdana Menteri adalah terikat untuk mengemukakan calon-calon hakim seperti yang diketengahkan oleh Suruhanjaya. Seksyen 28 hanya memperuntukkan “Apabila Perdana Menteri telah menerima mana-mana orang yang disyorkan oleh Suruhanjaya, dia bolehlah seterusnya memberikan nasihatnya mengikut Perkara 122b Perlembagaan Persekutuan”.

Ketiga, Seksyen 27 memberikan kuasa kepada Perdana Menteri untuk meminta Suruhanjaya mengemukakan calon tambahan setelah meneliti nama-nama calon yang telah dikemukakan sebelumnya. Ini dalam erti kata lain ia memberikan kuasa kepada Perdana Menteri menolak calon-calon awal yang dikemukakan Suruhanjaya.

Keempat, komposisi keanggotaan Suruhanjaya tidak menggambarkan kebebasan sepenuhnya Suruhanjaya tersebut. Daripada sembilan anggota Suruhanjaya tersebut, lima adalah dipilih dan dilantik oleh Perdana Menteri. Empat anggota yang lain adalah lantikan berdasarkan jawatan mereka iaitu Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Mahkamah Tinggi Di Malaya dan Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak. Suruhanjaya tersebut hanya dilihat bebas dari Perdana Menteri sekiranya pemilihan lima anggota lantikan tersebut dibuat oleh institusi kenegaraan yang lain seperti YDP Agong sendiri, bukan Perdana Menteri. Dalam kaitan yang sama, kuasa pembatalan keanggotaan yang diberikan sepenuhnya kepada Perdana Menteri di bawah Seksyen 9 mesti dipinda sewajarnya.

Saya percaya ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat akan membahaskan rang undang-undang ini dengan penuh tanggungjawab dan melakarkan strategi untuk memastikan satu undang-undang yang berkesan bakal dikuatkuasakan bagi menjamin masa depan institusi kehakiman yang lebih bebas di Malaysia.

Thursday, December 11, 2008

Syabas Pak Lah!

Semalam, di Parlimen, Pak Lah membentangkan dua rang undang-undang yang saya kira cukup penting untuk masa depan Malaysia, iaitu Rang Undang-Undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah dan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Perlantikan Hakim.

Saya belum pasti apa respon pemimpin PAS dalam soal ini, tapi saya secara peribadi dan spontan memberikan ucapan tahniah untuk Pak Lah atas usaha beliau ini.

Saya percaya tindakan ini konsisten dengan desakan dan saranan pelbagai pihak sebelum ini termasuk PAS sendiri.

Malaysia sangat memerlukan pemulihan integriti dalam pentadbiran negara. Sistem kehakiman negara tidak lagi diyakini. Begitu juga rasuah dalam pentadbiran negara sudah menjadi rahsia umum.

Merombak semula sistem perlantikan hakim diharap dapat memulihkan integriti sistem kehakiman negara. Kita harap dengan adanya sistem perlantikan yang lebih adil dan bebas, tidak lagi berlaku proses lobi-melobi jawatan hakim seperti yang terlakun dalam video klip Linggam itu. Hakim yang terhutang budi dan terikat masa depannya pada kuasa eksekutif dikhuatiri hilang kemampuan untuk membuat keputusan yang bebas dan berintegriti, apabila tidak selari dengan kehendak kuasa eksekutif.

Memulihkan integriti pencegahan rasuah bererti membenarkan agensi pencegahan rasuah membanteras rasuah dengan penuh kebebasan tanpa campurtangan pihak eksekutif. Ini bermakna memberikan kuasa pencegahan rasuah menyiasat dan mendakwa mana-mana pelaku rasuah termasuk kalangan pemimpin tertinggi negara, menteri-menteri hatta Perdana Menteri sekalipun.

Sebelum ini kita selalu didedahkan tentang adanya kes-kes rasuah berprofail tinggi yang melibatkan pemimpin-pemimpin negara tetapi tidak didakwa. Mungkin BPR ada menjalankan siasatan, tetapi kuasa pendakwaan dan struktur badan pendakwaan dalam BPR masih tertakluk kepada kuasa Peguam Negara. Dan rakyat secara umumnya percaya wujud campurtangan kerajaan dalam proses tersebut.

Saya ingat perkara di atas telah beberapa kali diutarakan Dewan Pemuda PAS dalam beberapa pertemuan dengan BPR sebelum ini. (Saya ingat dua pertemuan pada tahun 2006 dengan pengurusan tertinggi BPR diketuai oleh Ketua Pengarah Datuk Seri Zulkipli Bin Mat Noor (yang juga terbabit dalam tuduhan rasuah) dan pertemuan terbaru diketuai Timbalan Ketua Pengarah II Dato’ Haji Zakaria Jaffar pada 16 September baru-baru ini.)

Moga, kedua-dua rang undang-undang yang dibentangkan semalam dibahaskan dengan teliti dan mendapat sokongan ahli-ahli Parlimen untuk dikuatkuasakan dalam kadar segera. Dan saya harap kewujudan undang-undang dan dua suruhanjaya yang baru ini dapat memulihkan integriti badan kehakiman dan badan pencegahan rasuah dalam negara dan menjadikan mereka elemen semak dan imbang (check and balance) yang berkesan dalam pentadbiran negara. Seterusnya kita harap ia dapat menamatkan kebobrokan amalan penyalahgunaan kuasa pihak eksekutif yang sudah lama merosakkan negara.

Syabas untuk semua pejuang keadilan dalan negara!

Monday, November 17, 2008

PAS dan Isu Hubungan Antara Kaum di Malaysia

Sepanjang dua minggu yang lepas, saya tidak sempat untuk menulis di dalam blog ini. Banyak isu yang berlalu yang saya tidak dapat turut sama memberi pandangan. Antara yang paling penting dan menarik adalah beberapa isu yang melibatkan status hubungan antara kaum termasuklah kenyataan Naib Presiden MCA, Datuk Liow Tiong Lai yang mencadangkan penghapusan kuota 30% bumiputera dalam penyenaraian syarikat awam, pertikaian atas perlantikan pemangku Pengurus Besar baru PKNS dan penetapan kuota 50% untuk Bumiputera dalam penjualan perumahan di negeri Kedah.

Hubungan antara kaum merupakan satu subjek unik yang cukup penting dalam seni politik Malaysia. Menangani polisi yang melibatkan kepentingan kaum merupakan sesuatu yang cukup mencabar bagi mana-mana kerajaan samada di peringkat persekutuan mahupun kerajaan negeri. Sebagai kerajaan bagi rakyat berbilang kaum, mereka mesti mempunyai keupayaan untuk melaksanakan polisi pentadbiran yang boleh memberi keadilan kepada semua kaum.

Kadangkala, pemimpin politik cenderung mengambil jalan mudah apabila mengeluarkan pendirian mengenai isu yang melibatkan kepentingan kaum dengan cuba menjadi hero kepada sesuatu kaum tertentu. Lebih-lebih lagi dalam sistem politik kepartian berasaskan kaum di Malaysia, setiap parti terpaksa menjadi suara pendesak kepada kaum yang menjadi majoriti dalam parti masing-masing untuk bersaing dengan parti lawannya.

Saya percaya ini bukanlah sesuatu yang sihat untuk politik negara. Pemimpin politik dalam mana-mana parti bukan sahaja mewakili kaum majoriti dalam partinya, tetapi mesti mampu mewakili semua kaum yang ada dalam negara.

PAS juga berdepan dengan cabaran besar dalam menentukan sikap politik dalam isu yang melibatkan hubungan kaum dalam negara. Sebagai sebuah parti Islam, PAS secara majoritinya diwakili oleh umat Islam yang terdiri dari kaum Melayu. Tetapi, hakikat ini sepatutnya tidak menjadikan PAS sebagai sebuah parti yang memperjuangkan kepentingan Melayu semata-mata, tetapi PAS mesti memperjuangkan keadilan seperti yang dianjurkan Islam kepada semua rakyat tanpa mengira kaum.

Memberikan keadilan kepada semua kaum tidak bererti memberikan kesamarataan hak kepada semua kaum dalam semua perkara. Setiap polisi yang melibatkan konflik dalam kepentingan kaum perlu mengambil kira semua faktor termasuk latarbelakang sejarah, peruntukan perlembagaan dan perundangan, status sosial dan ekonomi. Pada masa yang sama, tahap sensitiviti antara kaum dan keselamatan negara juga perlu dipertimbangkan.

Saya percaya Datuk Liow cuba menarik perhatian kaum Cina apabila mempersoalkan kuota 30% bumiputera baru-baru ini. Mungkin alasan untuk menjadikan syarikat senaraian awam negara lebih kompetitif ada asasnya, tetapi mempertaruhkan kuota 30% bumiputera (dalam masa ekuiti bumiputera masih di bawah paras 20%) bukan satu pilihan yang wajar dipandang mudah.

Dalam isu perlantikan pemangku Pengurus Besar baru PKNS, PAS tidak mempersoalkan perlantikan tersebut atas alasan beliau seorang bukan Melayu tetapi hanya dari sudut kelayakan. Apa yang menjelekkan adalah sikap buruk media yang cuba melaga-lagakan PAS dan parti-parti Pakatan Rakyat dengan memutarbelitkan kenyataan pemimpin PAS.

Di sebelah utara pula, sehingga hari ini kerajaan Kedah terpaksa berhempas pulas mempertahankan keputusan menaikkan kuota perumahan kepada bumiputera sehingga 50%. Hasrat kerajaan Kedah untuk memberikan lebih peluang kepada bumiputera memiliki rumah di kawasan bandar dan pinggir bandar wajar diperhalusi. Tidak sepatutnya timbul bantahan daripada kaum bukan bumiputera kerana kadar 50% untuk bukan bumiputera masih lagi kadar yang munasabah berdasarkan komposisi penduduk berasaskan kaum di negeri Kedah. Walaubagaimanapun faktor pasaran mungkin menjadi kerisauan di kalangan syarikat-syarikat pemaju perumahan. Kelembapan dalam memasarkan setiap projek yang dilancarkan boleh mengganggu kelancaran projek dan menimbulkan banyak masalah kepada banyak pihak termasuk kerajaan. Saya percaya kerajaan Kedah telah membuat persediaan sewajarnya dalam soal ini.

Sunday, November 16, 2008

Kempen Jom Join PAS

Alhamdulillah, semalam saya selesai membentangkan kertas konsep “Kempen Jom Join PAS” dan telah mendapat endosmen dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat. Insha Allah, Kempen ini akan menjadi aktiviti utama Pemuda PAS seluruh negara sepanjang tempoh 5 bulan akan datang bagi mendekatkan Pemuda PAS dengan generasi muda Malaysia dan seterusnya mengajak mereka untuk bersama PAS dalam usaha pembinaan masyarakat dan pembangunan negara.

Selepas PRU-12, sokongan dan perhatian rakyat kepada PAS semakin bertambah. PAS mula menarik minat bukan sahaja di kalangan masyarakat Melayu (di bandar dan desa) malah semakin mendapat tempat di hati bukan Melayu dan bukan Islam di seluruh negara.

Di kalangan generasi muda, PAS dilihat sebagai satu pilihan munasabah untuk menjadi parti tunggak masyarakat Melayu menggantikan UMNO yang sekarang ini bergelut dengan krisis kepimpinan dan rasuah politik.

Bagi negeri-negeri di mana Pakatan Rakyat menjadi kerajaan, Pemuda PAS berterusan menerima kemasukan sejumlah besar anak-anak muda yang datang menawarkan diri untuk bersama memberikan sumbangan mereka untuk PAS termasuk di kalangan anak-anak muda Cina dan India.

Justeru, dalam suasana rakyat memberikan perhatian dan kesudian untuk mendekati PAS, PAS perlu membuka pintu seluas-luasnya kepada mereka. Mungkin di sana ramai lagi yang bersedia untuk menawarkan sumbangan, bersedia untuk menjadi ahli PAS atau Kelab Penyokong PAS tapi masih belum cukup didekati. Mungkin juga ada yang belum mendapat cukup maklumat untuk membuatkan mereka terbuka hati untuk bersama membantu perjuangan PAS. Moga-moga dengan adanya usaha kempen begini, Pemuda PAS akan berjaya mendekati dan menyampaikan hasrat PAS kepada mereka untuk mengajak mereka bersama-sama memberikan sumbangan kepada usaha PAS membangunkan masyarakat dan negara.

Kempen yang akan berlangsung selama lima bulan ini akan dilaksanakan melalui pelbagai medium promosi dan pelaksanaan aktiviti yang mampu menarik perhatian terutamanya golongan muda dalam negara. Antara medium promosi yang akan digunakan adalah menerusi kempen rumah ke rumah, edaran bahan kempen di tempat awam, kempen menerusi sms, email, laman web dan blog serta promosi melalui paparan mesej dan logo kempen pada barangan seperti t-shirt, topi, sticker kereta, poster dan banner. Dalam tempoh yang sama, Pemuda PAS akan melaksanakan pelbagai aktiviti yang bersifat inklusif kepada semua kelompok golongan muda seperti kegiatan sukan dan rekreasi, hiburan, sukarelawan, pendidikan dan kerjaya.

Kempen ini juga mensasarkan untuk mendaftarkan seramai mungkin golongan muda yang layak untuk menjadi pengundi dalam daftar pemilih. Pada PRU-12 seramai 4 juta rakyat yang telah layak untuk mendaftar sebagai pemilih telah gagal berdaftar. Angka tersebut akan menjadi lebih besar dengan tambahan 2 juta anak-anak muda yang bakal mencapai umur kelayakan menjelang PRU-13 yang akan datang. Pemuda PAS mesti berperanan untuk mengajak generasi muda Malaysia melaksanakan tanggungjawab mereka mengundi dan menyertai proses demokrasi dalam negara.

Insha Allah, Kempen Jom Join PAS anjuran Dewan Pemuda ini akan dilancarkan oleh Presiden PAS pada 27 Disember 2008. Saya memohon sokongan dari semua rakan-rakan untuk membantu menyebarluaskan kempen ini mengikut kemampuan masing-masing terutamanya dengan memanjangkan emel kempen yang bakal diterima dan sudi meletakkan logo kempen pada blog anda dan pada laman-laman web yang berkenaan.

Moga PAS makin mendapat tempat di hati masyarakat Malaysia lebih-lebih lagi di kalangan generasi muda tidak kira bangsa dan agama. Insha Allah!

Monday, October 27, 2008

Ezam jadi Anwar Ibrahim ke-2 untuk UMNO

Dua malam lepas saya hadir di kediaman Sdr Ezam Mohd Nor di Shah Alam atas jemputannya sempena Aidilfitri.

Dah lama tak bersua dengan Ezam. Kali terakhir saya berkomunikasi dengan beliau adalah semasa desas-desus beliau akan menyertai UMNO. Saya dan ramai kawan-kawan beliau dalam PAS telah memujuk untuk beliau tidak menyertai UMNO, malah mempelawa beliau menyertai PAS.

Saya tidak berminat mengulas lanjut tentang perkara yang membuatkan beliau menyertai UMNO. Saya cuma ingin menelah nasib beliau di dalam UMNO selepas ini.

Apabila Ezam menyertai UMNO ia diihat satu tamparan yang hebat untuk pembangkang terutamanya Anwar Ibrahim dan partinya, PKR. Ezam mampu menjadi satu senjata ampuh untuk UMNO berdepan dengan Anwar. Walaubagaimanapun, itu semua terbukti meleset apabila kehadiran Ezam gagal menjejaskan populariti Anwar dalam Pilihanraya Kecil Permatang Pauh. Malah Anwar menang besar dalam pilihanraya tersebut.

Maka apa lagi yang ada pada Ezam untuk UMNO?

Mungkin tidak ada apa-apa lagi pada Ezam untuk Pak Lah, kerana tempoh beliau bertakhta di dalam UMNO hanya berbaki beberapa bulan lagi. Tapi saya percaya Najib tidak akan mempersia-siakan kehadiran Ezam di dalam UMNO. Najib sedang merencana banyak agenda dalam persediaan beliau mengambil alih tanggungjawab sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia. Antaranya adalah tanggungjawab besar beliau untuk memulihkan kredibiliti UMNO dan BN di mata rakyat.

PRU-12 baru-baru ini membuktikan rakyat menuntut reformasi besar dalam pentadbiran negara. Di mata rakyat, Malaysia sudah kepupusan nilai demokrasi dan keadilan. Di mata rakyat juga, pemimpin BN dan UMNO adalah pengamal politik rasuah dan korupsi. Untuk UMNO dan BN terus relevan dalam persada politik negara, mereka mesti berusaha merubah hakikat ini, atau dengan cara yang lain, mengubah persepsi terhadapnya.

Kebangkitan rakyat menuntut integriti, keadilan dan pemulihan demokrasi mesti ditangani Najib. Apakah Najib akan menggunakan Ezam untuk membuktikan kepada rakyat bahawa beliau sedang melaksanakan pemulihan demokrasi dan perang terhadap rasuah?

Ezam adalah tokoh demokrasi dan anti rasuah sejak sekian lama. Seperti kata Salahuddin Ayub, diri Ezam itu bagai sebuah instititusi yang memperjuangkan demokrasi dan menentang rasuah. Saya yakin semangat dan inspirasi menentang rasuah masih berpasak dalam diri Ezam, dan saya harap ianya masih sekental dulu.

Di awal zaman awal 80-an, ketika UMNO berdepan dengan kebangkitan idealisma Islam sedunia yang juga memberi kesan dalam arus politik Malaysia, Dr Mahathir telah membawa masuk Anwar Ibrahim untuk memberikan imej Islam di dalam UMNO. Kemasukan Anwar, tokoh muda ABIM ke dalam UMNO telah memberikan keyakinan kepada umat Melayu Islam bahawa UMNO cukup serius dalam pelaksanaan Islam. Ia juga berjaya mengimbangi suara PAS sebagai sebuah parti pembangkang yang melaungkan pelaksanaan Islam dalam pentadbiran negara. Maka rakyat terpesona dengan UMNO dan melupakan PAS. Apa yang terjadi pada Anwar selepas itu adalah sejarah yang kita semua maklum.

Mungkin kali ini UMNO akan menggunakan Ezam untuk meredakan tuntutan rakyat dan pembangkang kepada demokrasi dan penentangan terhadap rasuah. Mungkin selepas ini, Ezam akan diberikan satu kedudukan penting dalam mana-mana portfolio kerajaan dalam menangani rasuah.

Maka sepertimana Anwar berjaya membuat tempelan-tempelan program Penerapan Nilai-Nilai Islamnya dengan maksud meredakan tuntutan pelaksanaan Islam sepenuhnya oleh PAS, Ezam akan membuat tempelan-tempelan dalam program anti rasuahnya untuk membaiki imej UMNO dan meredakan tuntutan rakyat yang mendesak. Cukup untuk membuat rakyat terpesona semula dengan UMNO.

Itu telahan saya. Saya harap saya silap!