Sunday, November 16, 2008

Kempen Jom Join PAS

Alhamdulillah, semalam saya selesai membentangkan kertas konsep “Kempen Jom Join PAS” dan telah mendapat endosmen dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat. Insha Allah, Kempen ini akan menjadi aktiviti utama Pemuda PAS seluruh negara sepanjang tempoh 5 bulan akan datang bagi mendekatkan Pemuda PAS dengan generasi muda Malaysia dan seterusnya mengajak mereka untuk bersama PAS dalam usaha pembinaan masyarakat dan pembangunan negara.

Selepas PRU-12, sokongan dan perhatian rakyat kepada PAS semakin bertambah. PAS mula menarik minat bukan sahaja di kalangan masyarakat Melayu (di bandar dan desa) malah semakin mendapat tempat di hati bukan Melayu dan bukan Islam di seluruh negara.

Di kalangan generasi muda, PAS dilihat sebagai satu pilihan munasabah untuk menjadi parti tunggak masyarakat Melayu menggantikan UMNO yang sekarang ini bergelut dengan krisis kepimpinan dan rasuah politik.

Bagi negeri-negeri di mana Pakatan Rakyat menjadi kerajaan, Pemuda PAS berterusan menerima kemasukan sejumlah besar anak-anak muda yang datang menawarkan diri untuk bersama memberikan sumbangan mereka untuk PAS termasuk di kalangan anak-anak muda Cina dan India.

Justeru, dalam suasana rakyat memberikan perhatian dan kesudian untuk mendekati PAS, PAS perlu membuka pintu seluas-luasnya kepada mereka. Mungkin di sana ramai lagi yang bersedia untuk menawarkan sumbangan, bersedia untuk menjadi ahli PAS atau Kelab Penyokong PAS tapi masih belum cukup didekati. Mungkin juga ada yang belum mendapat cukup maklumat untuk membuatkan mereka terbuka hati untuk bersama membantu perjuangan PAS. Moga-moga dengan adanya usaha kempen begini, Pemuda PAS akan berjaya mendekati dan menyampaikan hasrat PAS kepada mereka untuk mengajak mereka bersama-sama memberikan sumbangan kepada usaha PAS membangunkan masyarakat dan negara.

Kempen yang akan berlangsung selama lima bulan ini akan dilaksanakan melalui pelbagai medium promosi dan pelaksanaan aktiviti yang mampu menarik perhatian terutamanya golongan muda dalam negara. Antara medium promosi yang akan digunakan adalah menerusi kempen rumah ke rumah, edaran bahan kempen di tempat awam, kempen menerusi sms, email, laman web dan blog serta promosi melalui paparan mesej dan logo kempen pada barangan seperti t-shirt, topi, sticker kereta, poster dan banner. Dalam tempoh yang sama, Pemuda PAS akan melaksanakan pelbagai aktiviti yang bersifat inklusif kepada semua kelompok golongan muda seperti kegiatan sukan dan rekreasi, hiburan, sukarelawan, pendidikan dan kerjaya.

Kempen ini juga mensasarkan untuk mendaftarkan seramai mungkin golongan muda yang layak untuk menjadi pengundi dalam daftar pemilih. Pada PRU-12 seramai 4 juta rakyat yang telah layak untuk mendaftar sebagai pemilih telah gagal berdaftar. Angka tersebut akan menjadi lebih besar dengan tambahan 2 juta anak-anak muda yang bakal mencapai umur kelayakan menjelang PRU-13 yang akan datang. Pemuda PAS mesti berperanan untuk mengajak generasi muda Malaysia melaksanakan tanggungjawab mereka mengundi dan menyertai proses demokrasi dalam negara.

Insha Allah, Kempen Jom Join PAS anjuran Dewan Pemuda ini akan dilancarkan oleh Presiden PAS pada 27 Disember 2008. Saya memohon sokongan dari semua rakan-rakan untuk membantu menyebarluaskan kempen ini mengikut kemampuan masing-masing terutamanya dengan memanjangkan emel kempen yang bakal diterima dan sudi meletakkan logo kempen pada blog anda dan pada laman-laman web yang berkenaan.

Moga PAS makin mendapat tempat di hati masyarakat Malaysia lebih-lebih lagi di kalangan generasi muda tidak kira bangsa dan agama. Insha Allah!

2 comments:

Anonymous said...

saya ingin mencadangkan agar pihak tuan dapat menukar perkataan "Jom Join PAS" kepada "Jom Masuk PAS" atau perkataan yang sewaktu dengannya. Jika Pemuda PAS sebelum ini bersama-sama dengan pihak yang menentang perkataan "SureHeboh" oleh TV3, maka pihak tuan perlu mengambil kira pandangan saya ini. Jangan sampai dikata "cakap tidak serupa bikin". Indah Bangsa kerana Bahasa"

abu al-izz said...

terima kasih remy,
dlm mesy terakhir j/kuasa kempen, kami telah bersetuju memilih slogan "Jom Sertai PAS - PAS Untuk Semua". Logo tengah direka. Ada sape2 nak cadangkan Logo?

Sabki