Friday, December 26, 2008

Hudud - Bukan Islam Tidak Perlu Risau

Isu hangat yang cuba dimainkan media dua tiga hari terakhir ini adalah isu kenyataan Naib Presiden PAS, Dato’ Husam Musa bahawa PAS tetap akan melaksanakan hudud sekiranya berjaya menguasai pentadbiran kerajaan persekutuan kelak. Dan semalam, ketika saya singgah di Pejabat Agung PAS untuk mengambil pegawai saya dalam perjalanan ke Shah Alam, saya diminta untuk menerima serahan memorandum dari Pemuda MCA Wilayah yang membantah cadangan pelaksanaan hudud.

Pertamanya, saya mesti menyokong kenyataan Dato’ Husam mengenai hudud dan saya percaya semua pihak yang mendokong perjuangan PAS akan mengambil pendirian yang sama.

Keduanya, saya faham kerisauan Pemuda MCA dan mungkin dikongsi sama sebahagian besar dari kalangan rakyat Malaysia yang bukan beragama Islam terhadap pendirian PAS ini. Malangnya kerisauan ini berasaskan hanya kepada propaganda yang disampaikan oleh mereka yang menentang hudud. Sedangkan PAS mempunyai ruang yang cukup terhad untuk menjelaskan apa sebenarnya hudud kepada mereka.

Saya teringat semasa hadir ke satu persidangan pemimpin muda Asia Pasifik di Hawaii pada tahun 2002 bersama wakil DAP Mr. Thomas Su (sekarang ini Yang Berhormat Exco Pendidikan dalam Kerajaan Pakatan Rakyat di Perak). Kami masing-masing diminta membuat pembentangan dan Thomas memilih untuk bercakap tentang pengisytiharan negara Islam oleh Dr Mahathir pada ketika itu dan menyatakan penentangannya terhadap penubuhan negara Islam.

Semasa minum, saya menanyakan beliau kenapa beliau menentang pelaksanaan hukum Islam dalam negara. Jawab beliau nanti orang bukan Islam tak boleh minum arak lagi. Saya agak terkejut kerana pada sangkaan saya, orang politik seperti beliau sudah tahu hakikat bahawa pemerintahan Islam tidak menghalang bukan Islam untuk meminum arak. Sekiranya beliau yang pada ketika itu pimpinan DAPSY tidak tahu, apatah lagi rakyat bukan Islam yang lain.

Kesangsian seperti inilah yang menjadi asas ketakutan dan penentangan bukan Islam terhadap hudud.

Maka, PAS mempunyai satu tanggungjawab dan cabaran yang cukup besar untuk menjelaskan maksud dan rupa sebenar hudud kepada bukan Islam sehingga mereka faham dan boleh menerimanya. Mungkin sebelum ini dalam ruang media yang sangat sempit dan akses kepada bukan Islam yang terhad menyebabkan kita gagal menjelaskan kepada mereka tentang hudud. Tapi sekarang, ruang media agak terbuka (sekurang-kurangnya melalui internet) dan hubungan dengan kaum bukan Islam sangat erat. Maka, apa lagi yang kita tunggu?

Dan hari ini, setelah DAP bersama dengan PAS dalam satu kerajaan di Perak, saya percaya rakan saya, Thomas lebih mengenali keadilan pentadbiran Islam dan mungkin telah bersedia untuk menerima pelaksanaan hudud pada masa hadapan.

Thursday, December 25, 2008

Kempen JOM SERTAI PAS


Saya mewakili Dewan Pemuda PAS dan Lajnah Pemerkasaan PAS menjemput anda semua ke Majlis Perasmian Kempen JOM SERTAI PAS pada hari Sabtu 27 Disember 2008 bertempat di Dataran Shah Alam, Shah Alam, Selangor. Majlis Perasmian akan disempurnakan oleh YB Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS.

Majlis akan turut diserikan dengan kehadiran khas Kapten (B) Datuk Zahar Hashim, bekas Ketua Bahagian UMNO Petaling Jaya Selatan yang baru mengisytiharkan menyertai PAS bersama 28 ketua cawangan UMNO bahagiannya dalam satu majlis semalam.

Datanglah beramai-ramai!

Sunday, December 14, 2008

Suruhanjaya Perlantikan Kehakiman – Pulihkah Kebebasan Kehakiman Malaysia?

Semasa saya menulis posting terdahulu “Syabas Pak Lah”, saya masih berada di kampung (Besut) bercuti sempena Aidil Adha. Pulang ke Kuala Lumpur, saya terus menghubungi beberapa ahli Parlimen PAS untuk mendapatkan salinan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Perlantikan Kehakiman dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. Malang, kedua-duanya tidak sampai ke tangan atas pelbagai halangan.

Sebagai pilihan, saya memuat turun salinan Rang Undang-Undang tersebut dari laman web rasmi Parlimen Malaysia, tapi tidak berjaya melengkapkan muat turun Rang Undang-Undang Pencegahan Rasuah - masalah teknikal.

Saya sempat meneliti salinan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Perlantikan Kehakiman (SPK) yang akan mula dibahaskan di Parlimen esok. Saya juga sempat meneliti beberapa kritikan awal terhadap rang undang-undang tersebut.

Pada asasnya kita semua menuntut perubahan dalam sistem kehakiman dan pentadbiran keadilan dalam negara. Sebarang bentuk usaha ke arah perubahan tersebut perlu diberi perhatian dan disokong dengan pendekatan konstruktif untuk membolehkannya mencapai objektif sebenar perubahan yang dituntut.

Sekali lagi saya tegaskan, objektif perubahan yang dituntut dalam sistem kehakiman negara adalah membebaskan institusi kehakiman dari cengkaman kuasa eksekutif negara. Noktah!

Malangnya, walaupun rang undang-undang SPK seperti yang dibentangkan pada Khamis lepas telah memperakui tanggungjawab Perdana Menteri dalam mendukung dan mempertahankan kebebasan kehakiman dan menyediakan sistem baru dalam proses perlantikan hakim, ia masih belum menghilangkan kerisauan terhadap kemungkinan wujud campurtangan tidak wajar kuasa eksekutif terutamanya Perdana Menteri sendiri dalam proses tersebut.

Asas kepada kerisauan ini adalah seperti berikut:-

Pertama, Suruhanjaya ini hanya berfungsi untuk membuat rekomendasi kepada Perdana Menteri dan bukan kepada Yang Di Pertuan Agong. Kuasa Perdana Menteri untuk menasihat YDP Agong masih kekal di bawah Perkara 122b Perlembagaan Persekutuan. Langkah yang lebih baik adalah mencadangkan pindaan Perlembagaan untuk membolehkan Suruhanjaya membuat laporan terus kepada YDP Agong.

Kedua, tiada peruntukan khusus menyatakan Perdana Menteri adalah terikat untuk mengemukakan calon-calon hakim seperti yang diketengahkan oleh Suruhanjaya. Seksyen 28 hanya memperuntukkan “Apabila Perdana Menteri telah menerima mana-mana orang yang disyorkan oleh Suruhanjaya, dia bolehlah seterusnya memberikan nasihatnya mengikut Perkara 122b Perlembagaan Persekutuan”.

Ketiga, Seksyen 27 memberikan kuasa kepada Perdana Menteri untuk meminta Suruhanjaya mengemukakan calon tambahan setelah meneliti nama-nama calon yang telah dikemukakan sebelumnya. Ini dalam erti kata lain ia memberikan kuasa kepada Perdana Menteri menolak calon-calon awal yang dikemukakan Suruhanjaya.

Keempat, komposisi keanggotaan Suruhanjaya tidak menggambarkan kebebasan sepenuhnya Suruhanjaya tersebut. Daripada sembilan anggota Suruhanjaya tersebut, lima adalah dipilih dan dilantik oleh Perdana Menteri. Empat anggota yang lain adalah lantikan berdasarkan jawatan mereka iaitu Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Mahkamah Tinggi Di Malaya dan Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak. Suruhanjaya tersebut hanya dilihat bebas dari Perdana Menteri sekiranya pemilihan lima anggota lantikan tersebut dibuat oleh institusi kenegaraan yang lain seperti YDP Agong sendiri, bukan Perdana Menteri. Dalam kaitan yang sama, kuasa pembatalan keanggotaan yang diberikan sepenuhnya kepada Perdana Menteri di bawah Seksyen 9 mesti dipinda sewajarnya.

Saya percaya ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat akan membahaskan rang undang-undang ini dengan penuh tanggungjawab dan melakarkan strategi untuk memastikan satu undang-undang yang berkesan bakal dikuatkuasakan bagi menjamin masa depan institusi kehakiman yang lebih bebas di Malaysia.

Thursday, December 11, 2008

Syabas Pak Lah!

Semalam, di Parlimen, Pak Lah membentangkan dua rang undang-undang yang saya kira cukup penting untuk masa depan Malaysia, iaitu Rang Undang-Undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah dan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Perlantikan Hakim.

Saya belum pasti apa respon pemimpin PAS dalam soal ini, tapi saya secara peribadi dan spontan memberikan ucapan tahniah untuk Pak Lah atas usaha beliau ini.

Saya percaya tindakan ini konsisten dengan desakan dan saranan pelbagai pihak sebelum ini termasuk PAS sendiri.

Malaysia sangat memerlukan pemulihan integriti dalam pentadbiran negara. Sistem kehakiman negara tidak lagi diyakini. Begitu juga rasuah dalam pentadbiran negara sudah menjadi rahsia umum.

Merombak semula sistem perlantikan hakim diharap dapat memulihkan integriti sistem kehakiman negara. Kita harap dengan adanya sistem perlantikan yang lebih adil dan bebas, tidak lagi berlaku proses lobi-melobi jawatan hakim seperti yang terlakun dalam video klip Linggam itu. Hakim yang terhutang budi dan terikat masa depannya pada kuasa eksekutif dikhuatiri hilang kemampuan untuk membuat keputusan yang bebas dan berintegriti, apabila tidak selari dengan kehendak kuasa eksekutif.

Memulihkan integriti pencegahan rasuah bererti membenarkan agensi pencegahan rasuah membanteras rasuah dengan penuh kebebasan tanpa campurtangan pihak eksekutif. Ini bermakna memberikan kuasa pencegahan rasuah menyiasat dan mendakwa mana-mana pelaku rasuah termasuk kalangan pemimpin tertinggi negara, menteri-menteri hatta Perdana Menteri sekalipun.

Sebelum ini kita selalu didedahkan tentang adanya kes-kes rasuah berprofail tinggi yang melibatkan pemimpin-pemimpin negara tetapi tidak didakwa. Mungkin BPR ada menjalankan siasatan, tetapi kuasa pendakwaan dan struktur badan pendakwaan dalam BPR masih tertakluk kepada kuasa Peguam Negara. Dan rakyat secara umumnya percaya wujud campurtangan kerajaan dalam proses tersebut.

Saya ingat perkara di atas telah beberapa kali diutarakan Dewan Pemuda PAS dalam beberapa pertemuan dengan BPR sebelum ini. (Saya ingat dua pertemuan pada tahun 2006 dengan pengurusan tertinggi BPR diketuai oleh Ketua Pengarah Datuk Seri Zulkipli Bin Mat Noor (yang juga terbabit dalam tuduhan rasuah) dan pertemuan terbaru diketuai Timbalan Ketua Pengarah II Dato’ Haji Zakaria Jaffar pada 16 September baru-baru ini.)

Moga, kedua-dua rang undang-undang yang dibentangkan semalam dibahaskan dengan teliti dan mendapat sokongan ahli-ahli Parlimen untuk dikuatkuasakan dalam kadar segera. Dan saya harap kewujudan undang-undang dan dua suruhanjaya yang baru ini dapat memulihkan integriti badan kehakiman dan badan pencegahan rasuah dalam negara dan menjadikan mereka elemen semak dan imbang (check and balance) yang berkesan dalam pentadbiran negara. Seterusnya kita harap ia dapat menamatkan kebobrokan amalan penyalahgunaan kuasa pihak eksekutif yang sudah lama merosakkan negara.

Syabas untuk semua pejuang keadilan dalan negara!

Monday, November 17, 2008

PAS dan Isu Hubungan Antara Kaum di Malaysia

Sepanjang dua minggu yang lepas, saya tidak sempat untuk menulis di dalam blog ini. Banyak isu yang berlalu yang saya tidak dapat turut sama memberi pandangan. Antara yang paling penting dan menarik adalah beberapa isu yang melibatkan status hubungan antara kaum termasuklah kenyataan Naib Presiden MCA, Datuk Liow Tiong Lai yang mencadangkan penghapusan kuota 30% bumiputera dalam penyenaraian syarikat awam, pertikaian atas perlantikan pemangku Pengurus Besar baru PKNS dan penetapan kuota 50% untuk Bumiputera dalam penjualan perumahan di negeri Kedah.

Hubungan antara kaum merupakan satu subjek unik yang cukup penting dalam seni politik Malaysia. Menangani polisi yang melibatkan kepentingan kaum merupakan sesuatu yang cukup mencabar bagi mana-mana kerajaan samada di peringkat persekutuan mahupun kerajaan negeri. Sebagai kerajaan bagi rakyat berbilang kaum, mereka mesti mempunyai keupayaan untuk melaksanakan polisi pentadbiran yang boleh memberi keadilan kepada semua kaum.

Kadangkala, pemimpin politik cenderung mengambil jalan mudah apabila mengeluarkan pendirian mengenai isu yang melibatkan kepentingan kaum dengan cuba menjadi hero kepada sesuatu kaum tertentu. Lebih-lebih lagi dalam sistem politik kepartian berasaskan kaum di Malaysia, setiap parti terpaksa menjadi suara pendesak kepada kaum yang menjadi majoriti dalam parti masing-masing untuk bersaing dengan parti lawannya.

Saya percaya ini bukanlah sesuatu yang sihat untuk politik negara. Pemimpin politik dalam mana-mana parti bukan sahaja mewakili kaum majoriti dalam partinya, tetapi mesti mampu mewakili semua kaum yang ada dalam negara.

PAS juga berdepan dengan cabaran besar dalam menentukan sikap politik dalam isu yang melibatkan hubungan kaum dalam negara. Sebagai sebuah parti Islam, PAS secara majoritinya diwakili oleh umat Islam yang terdiri dari kaum Melayu. Tetapi, hakikat ini sepatutnya tidak menjadikan PAS sebagai sebuah parti yang memperjuangkan kepentingan Melayu semata-mata, tetapi PAS mesti memperjuangkan keadilan seperti yang dianjurkan Islam kepada semua rakyat tanpa mengira kaum.

Memberikan keadilan kepada semua kaum tidak bererti memberikan kesamarataan hak kepada semua kaum dalam semua perkara. Setiap polisi yang melibatkan konflik dalam kepentingan kaum perlu mengambil kira semua faktor termasuk latarbelakang sejarah, peruntukan perlembagaan dan perundangan, status sosial dan ekonomi. Pada masa yang sama, tahap sensitiviti antara kaum dan keselamatan negara juga perlu dipertimbangkan.

Saya percaya Datuk Liow cuba menarik perhatian kaum Cina apabila mempersoalkan kuota 30% bumiputera baru-baru ini. Mungkin alasan untuk menjadikan syarikat senaraian awam negara lebih kompetitif ada asasnya, tetapi mempertaruhkan kuota 30% bumiputera (dalam masa ekuiti bumiputera masih di bawah paras 20%) bukan satu pilihan yang wajar dipandang mudah.

Dalam isu perlantikan pemangku Pengurus Besar baru PKNS, PAS tidak mempersoalkan perlantikan tersebut atas alasan beliau seorang bukan Melayu tetapi hanya dari sudut kelayakan. Apa yang menjelekkan adalah sikap buruk media yang cuba melaga-lagakan PAS dan parti-parti Pakatan Rakyat dengan memutarbelitkan kenyataan pemimpin PAS.

Di sebelah utara pula, sehingga hari ini kerajaan Kedah terpaksa berhempas pulas mempertahankan keputusan menaikkan kuota perumahan kepada bumiputera sehingga 50%. Hasrat kerajaan Kedah untuk memberikan lebih peluang kepada bumiputera memiliki rumah di kawasan bandar dan pinggir bandar wajar diperhalusi. Tidak sepatutnya timbul bantahan daripada kaum bukan bumiputera kerana kadar 50% untuk bukan bumiputera masih lagi kadar yang munasabah berdasarkan komposisi penduduk berasaskan kaum di negeri Kedah. Walaubagaimanapun faktor pasaran mungkin menjadi kerisauan di kalangan syarikat-syarikat pemaju perumahan. Kelembapan dalam memasarkan setiap projek yang dilancarkan boleh mengganggu kelancaran projek dan menimbulkan banyak masalah kepada banyak pihak termasuk kerajaan. Saya percaya kerajaan Kedah telah membuat persediaan sewajarnya dalam soal ini.

Sunday, November 16, 2008

Kempen Jom Join PAS

Alhamdulillah, semalam saya selesai membentangkan kertas konsep “Kempen Jom Join PAS” dan telah mendapat endosmen dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat. Insha Allah, Kempen ini akan menjadi aktiviti utama Pemuda PAS seluruh negara sepanjang tempoh 5 bulan akan datang bagi mendekatkan Pemuda PAS dengan generasi muda Malaysia dan seterusnya mengajak mereka untuk bersama PAS dalam usaha pembinaan masyarakat dan pembangunan negara.

Selepas PRU-12, sokongan dan perhatian rakyat kepada PAS semakin bertambah. PAS mula menarik minat bukan sahaja di kalangan masyarakat Melayu (di bandar dan desa) malah semakin mendapat tempat di hati bukan Melayu dan bukan Islam di seluruh negara.

Di kalangan generasi muda, PAS dilihat sebagai satu pilihan munasabah untuk menjadi parti tunggak masyarakat Melayu menggantikan UMNO yang sekarang ini bergelut dengan krisis kepimpinan dan rasuah politik.

Bagi negeri-negeri di mana Pakatan Rakyat menjadi kerajaan, Pemuda PAS berterusan menerima kemasukan sejumlah besar anak-anak muda yang datang menawarkan diri untuk bersama memberikan sumbangan mereka untuk PAS termasuk di kalangan anak-anak muda Cina dan India.

Justeru, dalam suasana rakyat memberikan perhatian dan kesudian untuk mendekati PAS, PAS perlu membuka pintu seluas-luasnya kepada mereka. Mungkin di sana ramai lagi yang bersedia untuk menawarkan sumbangan, bersedia untuk menjadi ahli PAS atau Kelab Penyokong PAS tapi masih belum cukup didekati. Mungkin juga ada yang belum mendapat cukup maklumat untuk membuatkan mereka terbuka hati untuk bersama membantu perjuangan PAS. Moga-moga dengan adanya usaha kempen begini, Pemuda PAS akan berjaya mendekati dan menyampaikan hasrat PAS kepada mereka untuk mengajak mereka bersama-sama memberikan sumbangan kepada usaha PAS membangunkan masyarakat dan negara.

Kempen yang akan berlangsung selama lima bulan ini akan dilaksanakan melalui pelbagai medium promosi dan pelaksanaan aktiviti yang mampu menarik perhatian terutamanya golongan muda dalam negara. Antara medium promosi yang akan digunakan adalah menerusi kempen rumah ke rumah, edaran bahan kempen di tempat awam, kempen menerusi sms, email, laman web dan blog serta promosi melalui paparan mesej dan logo kempen pada barangan seperti t-shirt, topi, sticker kereta, poster dan banner. Dalam tempoh yang sama, Pemuda PAS akan melaksanakan pelbagai aktiviti yang bersifat inklusif kepada semua kelompok golongan muda seperti kegiatan sukan dan rekreasi, hiburan, sukarelawan, pendidikan dan kerjaya.

Kempen ini juga mensasarkan untuk mendaftarkan seramai mungkin golongan muda yang layak untuk menjadi pengundi dalam daftar pemilih. Pada PRU-12 seramai 4 juta rakyat yang telah layak untuk mendaftar sebagai pemilih telah gagal berdaftar. Angka tersebut akan menjadi lebih besar dengan tambahan 2 juta anak-anak muda yang bakal mencapai umur kelayakan menjelang PRU-13 yang akan datang. Pemuda PAS mesti berperanan untuk mengajak generasi muda Malaysia melaksanakan tanggungjawab mereka mengundi dan menyertai proses demokrasi dalam negara.

Insha Allah, Kempen Jom Join PAS anjuran Dewan Pemuda ini akan dilancarkan oleh Presiden PAS pada 27 Disember 2008. Saya memohon sokongan dari semua rakan-rakan untuk membantu menyebarluaskan kempen ini mengikut kemampuan masing-masing terutamanya dengan memanjangkan emel kempen yang bakal diterima dan sudi meletakkan logo kempen pada blog anda dan pada laman-laman web yang berkenaan.

Moga PAS makin mendapat tempat di hati masyarakat Malaysia lebih-lebih lagi di kalangan generasi muda tidak kira bangsa dan agama. Insha Allah!

Monday, October 27, 2008

Ezam jadi Anwar Ibrahim ke-2 untuk UMNO

Dua malam lepas saya hadir di kediaman Sdr Ezam Mohd Nor di Shah Alam atas jemputannya sempena Aidilfitri.

Dah lama tak bersua dengan Ezam. Kali terakhir saya berkomunikasi dengan beliau adalah semasa desas-desus beliau akan menyertai UMNO. Saya dan ramai kawan-kawan beliau dalam PAS telah memujuk untuk beliau tidak menyertai UMNO, malah mempelawa beliau menyertai PAS.

Saya tidak berminat mengulas lanjut tentang perkara yang membuatkan beliau menyertai UMNO. Saya cuma ingin menelah nasib beliau di dalam UMNO selepas ini.

Apabila Ezam menyertai UMNO ia diihat satu tamparan yang hebat untuk pembangkang terutamanya Anwar Ibrahim dan partinya, PKR. Ezam mampu menjadi satu senjata ampuh untuk UMNO berdepan dengan Anwar. Walaubagaimanapun, itu semua terbukti meleset apabila kehadiran Ezam gagal menjejaskan populariti Anwar dalam Pilihanraya Kecil Permatang Pauh. Malah Anwar menang besar dalam pilihanraya tersebut.

Maka apa lagi yang ada pada Ezam untuk UMNO?

Mungkin tidak ada apa-apa lagi pada Ezam untuk Pak Lah, kerana tempoh beliau bertakhta di dalam UMNO hanya berbaki beberapa bulan lagi. Tapi saya percaya Najib tidak akan mempersia-siakan kehadiran Ezam di dalam UMNO. Najib sedang merencana banyak agenda dalam persediaan beliau mengambil alih tanggungjawab sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia. Antaranya adalah tanggungjawab besar beliau untuk memulihkan kredibiliti UMNO dan BN di mata rakyat.

PRU-12 baru-baru ini membuktikan rakyat menuntut reformasi besar dalam pentadbiran negara. Di mata rakyat, Malaysia sudah kepupusan nilai demokrasi dan keadilan. Di mata rakyat juga, pemimpin BN dan UMNO adalah pengamal politik rasuah dan korupsi. Untuk UMNO dan BN terus relevan dalam persada politik negara, mereka mesti berusaha merubah hakikat ini, atau dengan cara yang lain, mengubah persepsi terhadapnya.

Kebangkitan rakyat menuntut integriti, keadilan dan pemulihan demokrasi mesti ditangani Najib. Apakah Najib akan menggunakan Ezam untuk membuktikan kepada rakyat bahawa beliau sedang melaksanakan pemulihan demokrasi dan perang terhadap rasuah?

Ezam adalah tokoh demokrasi dan anti rasuah sejak sekian lama. Seperti kata Salahuddin Ayub, diri Ezam itu bagai sebuah instititusi yang memperjuangkan demokrasi dan menentang rasuah. Saya yakin semangat dan inspirasi menentang rasuah masih berpasak dalam diri Ezam, dan saya harap ianya masih sekental dulu.

Di awal zaman awal 80-an, ketika UMNO berdepan dengan kebangkitan idealisma Islam sedunia yang juga memberi kesan dalam arus politik Malaysia, Dr Mahathir telah membawa masuk Anwar Ibrahim untuk memberikan imej Islam di dalam UMNO. Kemasukan Anwar, tokoh muda ABIM ke dalam UMNO telah memberikan keyakinan kepada umat Melayu Islam bahawa UMNO cukup serius dalam pelaksanaan Islam. Ia juga berjaya mengimbangi suara PAS sebagai sebuah parti pembangkang yang melaungkan pelaksanaan Islam dalam pentadbiran negara. Maka rakyat terpesona dengan UMNO dan melupakan PAS. Apa yang terjadi pada Anwar selepas itu adalah sejarah yang kita semua maklum.

Mungkin kali ini UMNO akan menggunakan Ezam untuk meredakan tuntutan rakyat dan pembangkang kepada demokrasi dan penentangan terhadap rasuah. Mungkin selepas ini, Ezam akan diberikan satu kedudukan penting dalam mana-mana portfolio kerajaan dalam menangani rasuah.

Maka sepertimana Anwar berjaya membuat tempelan-tempelan program Penerapan Nilai-Nilai Islamnya dengan maksud meredakan tuntutan pelaksanaan Islam sepenuhnya oleh PAS, Ezam akan membuat tempelan-tempelan dalam program anti rasuahnya untuk membaiki imej UMNO dan meredakan tuntutan rakyat yang mendesak. Cukup untuk membuat rakyat terpesona semula dengan UMNO.

Itu telahan saya. Saya harap saya silap!

Saturday, October 25, 2008

Makluman Kepada Pengunjung!

Saya mendapat maklumbalas dari beberapa pengunjung blog ini yang memaklumkan tidak dapat menghantar komen (comment) sebelum ini.

Setelah disemak, rupanya setting blog saya hanya membenarkan pengunjung berdaftar untuk menghantar komen. Hari ini saya telah mengubah setting tersebut dan membenarkan semua pengunjung untuk menghantar komen.

Dipersilakan…

Harap maklum!

Pulihkan Institusi Keadilan Negara!

Beberapa hari lepas, mahkamah di Thailand menjatuhkan hukuman penjara dua tahun ke atas bekas Perdana Menterinya Thaksin Shinawatra atas kesalahan rasuah.

Pada 9 September 2008, Mahkamah Perlembagaan Thailand telah memutuskan Perdana Menterinya, Samak Sundaravej telah melanggar peruntukan Perlembagaan Thailand dan mengarahkan beliau mengosongkan jawatan sebagai Perdana Menteri kerana muncul sebagai pengacara dalam satu rancangan televisyen swasta serta mendapat bayaran bagi tugas tersebut. (Perlembagaan Thailand memperuntukkan larangan kepada Perdana Menteri dan Menteri-Menteri daripada memegang apa-apa jawatan dalam mana-mana institusi perniagaan dan mendapat imbuhan daripadanya ataupun menjadi pekerja kepada sesiapa pun).

Baru-baru ini di Alaska, majlis perundangan negerinya membuat keputusan calon Naib Presiden US, Sarah Palin (yang sedang sibuk berkempen untuk Pilihanraya Presiden) bersalah menyalahguna kuasa apabila memecat pegawai secara tidak sah.

Di Malaysia, bekas Perdana Menteri, Perdana Menteri atau bakal Perdana Menteri tak perlu risau sebab perkara seperti ini tak akan berlaku dalam negara ini (pada masa ini).

Semalam saya bersama-sama Sdr Shamsul Iskandar, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan YB Anthony Loke, Setiausaha DAP Socialist Youth (DAPSY) ke pejabat Badan Pencegah Rasuah (BPR) Putrajaya untuk mengfailkan satu laporan rasmi ke atas Dato’ Seri Najib Tun Razak ("bakal Perdana Menteri") atas dakwaan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa dalam isu pembelian 12 buah helikopter dari syarikat Eurocopter. Transaksi ini melibatkan perbelanjaan lebih 2 billion duit negara.

Ini bukan kali pertama kita membuat laporan terhadap pemimpin negara. Tak banyak yang kita boleh harapkan dari keupayaan insititusi penyiasatan, pendakwaan dan kehakiman yang ada pada masa sekarang.

Institusi penyiasatan, pendakwaan dan kehakiman dalam negara sepatutnya bukan sekadar wujud untuk menyelesaikan masalah jenayah jalanan dan pertikaian antara rakyat sahaja, malah lebih penting dari itu, ia merupakan satu unsur utama semak dan imbang (check and balance) dalam pentadbiran negara. Sistem keadilan inilah yang berperanan untuk mengawal kuasa eksekutif (sehingga kepada Perdana Menteri dan kebinetnya) daripada sebarang bentuk salahlaku, salahguna kuasa dan penyelewengan. Insitusi-instusi ini perlu mempunyai integriti paling utuh dan membebaskan diri dari cengkaman politik untuk membolehkan mereka menjalankan peranan tersebut.

Di saat Pak Lah bercakap tentang azamnya untuk membuat pembaharuan dalam sistem kehakiman negara, kita dikejutkan dengan perlantikan Tan Sri Zaki sebagai Ketua Hakim Negara yang baru. Institusi kehakiman bukan sahaja mesti bebas, malah mesti dilihat bebas. Bagaimana mungkin seorang yang diketahui umum begitu rapat dengan UMNO boleh bersikap bebas bila menjalankan tugas Ketua Hakim Negara semasa UMNO menjadi parti utama dalam kerajaan?

Pada masa yang sama, bagaimana mungkin seorang Peguam Negara boleh bertindak bebas sedangkan dirinya sendiri sedang disiasat atas penyalahgunaan kuasa. Mungkin sekarang ini penyiasatan tersebut telah selesai. Bagaimana sekiranya pihak penyiasatan mendapati ada kes yang kukuh untuk mendakwa beliau? Siapa yang memutuskan pendakwaan tersebut perlu diteruskan atau tidak? Dia sendiri?

Saya mengharapkan rakyat Malaysia terus menuntut dan mendesak pembaharuan serta pemulihan dalam institusi penyiasatan, pendakwaan dan kehakiman agar mereka mendapat kebebasan sewajarnya dan mampu berperanan untuk kebaikan negara.

Wednesday, October 22, 2008

Tender saja la jawatan dalam UMNO

Semalam Dato’ Seri Utama Rais Yatim dengan sinis mencadangkan pemilihan kepimpinan UMNO dilaksanakan secara tender. Siapa yang nak tawarkan diri untuk memegang jawatan dalam UMNO, dia boleh kemukakan satu nilai yang sanggup dibayarnya untuk jawatan itu. Dan siapa yang membuat tawaran tertinggi, maka jawatan itu akan diberikan kepadanya. Bayarannya dibuat kepada UMNO, bukan kepada perwakilan.

Begitulah gambaran kroniknya politik wang dalam UMNO. Saya selalu teringat ucapan seorang perwakilan UMNO dalam persidangannya beberapa tahun yang lepas yang tersiar di televisyen, lebih kurang bunyinya “…kalau dah semua yang di atas tiada pertandingan, kami di bawah ni minum air sejuk la jawabnya…”. Begitu sekali mereka mengharapkan adanya pertandingan dalam pemilihan UMNO untuk membolehkan mereka mendapat habuan bagi undi yang akan mereka keluarkan.

UMNO pada awal perjuangannya berjuang untuk mendapat kemerdekaan dan mengisi kemerdekaan. Semasa Ku Li dilantik menjadi Menteri Kewangan pada awal 70-an, agenda memperkukuhkan dana kewangan UMNO telah dilaksanakan. Agenda ini menjadi semakin rancak di zaman Tun Daim menjadi Bendahari UMNO dan Menteri Kewangan bermula tahun 1984. Maka banyak projek dan pembelian kerajaan telah dianugerahkan kepada syarikat-syarikat yang ditaja oleh UMNO untuk membina keuntungan dalam perniagaan yang seterusnya akan disalurkan kepada perbendaharaan UMNO. Amalan yang sama berterusan di peringkat negeri dan bahagian.

Bermula dari saat itu, UMNO menjadi sebuah parti yang dilimpahi kekayaan yang besar. Dan limpahan kekayaan itu juga dikecap oleh pemimpin dan pendokong parti di setiap peringkat. Sebahagian besar projek bukan lagi untuk UMNO tetapi untuk pemimpin UMNO. Pemimpin UMNO terkenal dengan kekayaan dan kesenangan hidup. Rumah besar, kereta mewah, melancong ke luar negeri dan mampu menjamu dan memberi hadiah kepada penyokong-penyokongnya.

Lalu, berlumba-lumbalah orang-orang Melayu menyertai UMNO. Kununnya untuk bersama-sama berjuang untuk mengisi perjuangan negara dan bangsa, tapi sebenarnya untuk mengejar projek dan mengisi poket dan perut mereka.

Mungkin yang tinggal berjuang dengan ikhlas hanya segelintir kecil dari mereka.

Ketamakan terus menguasai pemimpin dalam UMNO. Lagi besar kuasa, lagi besar keupayaan untuk mengaut harta dan kekayaan. Maka perebutan kuasa menjadi medan pelaburan yang penting untuk mereka. Bermulalah amalan politik wang.

Boleh anda anggarkan berapa banyak wang yang dilaburkan untuk proses pemilihan dalam UMNO? Bermula dengan pemilihan di peringkat cawangan hinggalah “perayaan” pemilihan di peringkat nasional, jumlahnya tentunya mencecah jutaan ringgit.

Politik wang bagai barah di dalam UMNO. Makin lama ia menjadi makin parah. Mereka yang menawarkan diri dengan ikhlas sudah tidak mampu bersaing dengan yang menawarkan diri dengan wang. Pemilihan pemimpin bukan lagi berdasarkan kemampuan kepimpinan dan integriti mereka, tapi berdasarkan kemampuan mereka menaja dan menjaga keperluan poket pengundi-pengundi mereka. Akhirnya UMNO hanya mampu melahirkan pemimpin yang bukan lagi bekerja dengan mengutamakan kepentingan rakyat dan negara, tapi bekerja untuk survival diri mereka.

Hari ini UMNO sedang menuju zaman kemusnahannya. Pada kali ini, dengan tempoh kempen yang panjang, persaingan untuk mempertahankan sokongan dan menarik undi akan menjadi lebih mencabar dan sengit. Mereka yang layak bertanding tentu perlu membuat pelaburan besar untuk menang. Mungkin cadangan Dato Seri Utama Rais Yatim perlu dipertimbangkan!

Ehh!! Agaknya berapa nilai tender yang sesuai untuk jawatan Ketua Pemuda UMNO?

Saturday, October 18, 2008

Debat Untuk Pemilihan Kepimpinan PAS

Dalam posting pertama saya bertajuk “Masa Depan Demokrasi”, saya menyatakan sokongan saya pada pendekatan mengadakan debat dalam proses pemilihan pemimpin.

Tiga malam lepas, MCA dengan kerjasama beberapa pihak lain telah mengadakan debat terbuka di antara calon-calon yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden MCA. Walaubagaimanapun, debat yang sepatutnya disertai empat calon-calonnya itu akhirnya hanya berjaya menemukan dua daripada mereka iaitu Datuk Dr Chua Soi Lek dan Datuk Donald Lim.

Saya mengucapkan tahniah kepada MCA kerana berjaya mewujudkan satu budaya baru dalam amalan pemilihan pemimpin di Malaysia.

Saya mencadangkan amalan ini dapat diteruskan dan dicontohi oleh semua parti-parti politik termasuk juga PAS.

Dengan adanya proses debat dalam pemilihan kepimpinan parti, calon-calon yang bertanding berpeluang untuk mengemukakan idealisma dan penguasaan mereka bukan sahaja dalam perkara-perkara dalaman parti malah dalam perkara-perkara yang menjadi rangka penting pemerintahan negara seperti polisi dan pentadbiran kerajaan, ekonomi, pendidikan, perpaduan, pembangunan sumber manusia dan sebagainya. Mereka juga berpeluang untuk mengemukakan cadangan dan idea mereka secara konstruktif untuk dipertimbangkan oleh ahli dan rakyat umum.

Saya percaya debat sedemikian bukan sahaja boleh membentuk dan mengasah keupayaan calon-calon yang bertanding malah ianya boleh menyemai satu budaya pemikiran baru di kalangan barisan pemimpin pelapis dan pendokong parti. Sebagai sebuah parti yang telah menjadi sebahagian dari kerajaan lima negeri Pakatan Rakyat dan bersedia untuk mengambil alih pemerintahan di peringkat persekutuan, PAS mesti membentuk budaya pemikiran pemerintah (negarawan) di kalangan pemimpinnya di semua peringkat. Dengan cara begini PAS boleh menambah keyakinan rakyat kepada PAS sebagai sebuah kerajaan.

Format dan peraturan debat mungkin boleh diolah mengikut kesesuaian. Apa yang penting adalah mewujudkan platform bagi bakal pemimpin mengemukakan idealisma dan pemikiran mereka dengan berkesan.

Saya akan mencadangkan debat begini diadakan dalam pemilihan kepimpinan PAS yang akan datang, terutamanya dalam pemilihan kepimpinan Pemuda dan juga diadakan pada masa-masa yang lain sebagai satu daripada modul latihan kepimpinan dalam pembentukan pemimpin masa depan PAS.

Apa kata anda?

Friday, October 17, 2008

Mampukah Pak Lah Sempurnakan Agenda Pembaharuannya? (Siri 3)

Kata Dr Mahathir “He had had five years to do all these but everyone knows nothing has been accomplished by him. Now he says he will do all these in three months. Can we believe he can?” [Terjemahan: “Dia telah menghabiskan lima tahun untuk melakukannya (pembaharuan) tapi semua orang tahu bahawa tiada satu pun telah disempurnakannya. Sekarang dia kata yang dia akan lakukan semuanya itu dalam masa 3 bulan. Boleh kita percaya dia boleh lakukannya?”].

Tiga bulan atau lima bulan memang terlalu singkat untuk menyempurnakan pembaharuan. Tetapi Pak Lah sebenarnya mempunyai lebih dari tempoh tersebut kiranya beliau benar-benar mahu melihat pembaharuan berlaku dalam negara ini.

Semalam, Presiden PAS dalam ucapannya di Parlimen telah menyatakan sokongan kepada pembaharuan seperti yang dijanjikan oleh Pak Lah.

Pak Lah perlukan sokongan untuk pastikan rang undang-undang penubuhan Suruhanjaya Perlantikan Hakim, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah dan Suruhanjaya Aduan Khas ini dapat diluluskan segera. Pak Lah tentu bimbang sekiranya rang undang-undang ini tidak dapat diluluskan di masa pentadbirannya, Perdana Menteri yang baru nanti akan membatalkan kesemua usaha pembaharuan ini.

Dalam temuramah beliau dengan BERNAMA baru-baru ini beliau ditanya “Do you believe you can get the support of your Cabinet for some of the reforms that you want to introduce?” [Terjemahan: “Apakah anda yakin anda mampu mendapatkan sokongan ahli Kabinet bagi pembaharuan yang anda ingin perkenalkan?”].

Jawab Pak Lah “There will be differences of opinion, but Insya Allah I am confident that I can get the support. If not, I will have to find people who will support the changes that I am proposing.” [Terjemahan: “Akan ada pelbagai pandangan, tapi saya yakin saya akan dapat sokongan. Sekiranya tidak, saya akan mencari mereka yang akan memberikan sokongan pada pembaharuan ini.”]

Ya, Pak Lah sebenarnya ada lebih dari 5 bulan untuk menyempurnakan agenda pembaharuan ini.

Pak Lah tidak boleh tidak, mesti usahakan pembaharuan ini. Kerana itu mungkin satu-satunya peluang Pak Lah untuk meninggalkan satu legasi dalam tempoh perkhidmatan beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia. Hanya sekiranya beliau berjaya mengembalikan nilai-nilai demokrasi dalam negara, beliau mungkin boleh digelar “Bapa Pembaharuan Demokrasi”. Kalau tidak mungkin beliau hanya boleh bergelar “Bapa Mertua Khairy”.

Sekiranya beliau tidak mendapat sokongan BN/UMNO untuk melaksanakan perubahan dan pembaharuan dalam tempoh jawatannya, beliau boleh menyambung usaha tersebut dengan kerajaan baru Pakatan Rakyat.

Beliau boleh mengajak ahli-ahli Parlimen UMNO/BN yang mempunyai hasrat yang sama untuk menyatakan sokongan kepada penubuhan kerajaan Pakatan Rakyat demi melangsungkan perubahan dan agenda pembaharuan (reform agenda) dalam negara.

Silakan Pak Lah!

Wednesday, October 15, 2008

Mampukah Pak Lah Sempurnakan Agenda Pembaharuannya? (Siri 2)

Memimpin negara bukan satu urusan yang mudah. Apatah lagi kiranya banyak agenda pembaharuan perlu diselesaikan.

Pak Lah sedar bahawa beliau mewarisi sebuah kerajaan yang perlukan pembaharuan. Dia mewarisi kerajaan semasa Anwar Ibrahim masih di dalam penjara atas perbicaraan yang menjadi pertikaian dunia. Institusi kehakiman negara bukan sahaja dikecam oleh rakyat Malaysia bahkan dipersoalkan kebebasannya oleh dunia.

Pak Lah mewarisi kerajaan yang mana badan pendakwaan dan penguatkuasaan hilang integritinya. Polis dan BPR terkenal dengan penguatkuasaan terpilih dalam banyak perkara. Peguam Negara hanya jadi budak suruhan PM.

Pak Lah menguasai negara yang nilai demokrasinya sudah pudar. Proses pilihanraya yang sentiasa berhantu, kebebasan bersuara yang disekat, kebebasan berpolitik dihadkan dan banyak lagi.

Tetapi pembaharuan bukan mudah dan tidak mampu disempurnakan dalam jangka masa yang pendek.

Untuk membuat pembaharuan, Pak Lah perlukan keazaman politik (political will) yang tinggi. Keazaman itu bukan sahaja dalam dirinya, malah beliau perlu membina keazaman itu dalam kerajaannya. Oleh itu, Pak Lah perlukan sokongan penuh pemimpin UMNO dan BN dalam melaksanakan agenda perubahan.

Apakah pemimpin UMNO dan BN selama ini menyokong Pak Lah untuk membuat pembaharuan dan akan membantu Pak Lah menyempurnakan pembaharuannya?

Membuat pembaharuan bererti memulihkan sistem keadilan dan perundangan. Ia bererti memberikan kebebasan kepada badan penyiasatan dan pendakwaan seperti polis dan BPR. Ia juga memberi lebih ruang untuk demokrasi. Siapa yang untung dan siapa yang rugi?

Pemimpin-pemimpin UMNO yang bermasalah (kebanyakannya bermasalah) tentu tahu bahawa mereka mengambil risiko sekiranya banyak agenda pembaharuan berjaya dilaksanakan. Mereka tidak lagi bebas untuk mengumpul harta kekayaan. Mereka tidak lagi mampu menutup jenayah dengan pengaruh kuasa mereka atas proses penyiasatan dan pendakwaan.

Pemimpin UMNO sedar kiranya nilai demokrasi dipulihkan, yang mendapat kelebihan adalah pembangkang dan rakyat. Pembangkang boleh berperanan dengan lebih berkesan dan rakyat bebas membuat pertimbangan dan melaksanakan hak mereka sepenuhnya.

Sekarang Pak Lah hanya ada 5 bulan sahaja untuk sempurnakan agenda pembaharuannya. Mampukah beliau?

Sunday, October 12, 2008

Mampukah Pak Lah Sempurnakan Agenda Pembaharuannya?

Semasa mengumumkan hasratnya untuk tidak mempertahankan jawatan Presiden UMNO baru-baru ini, Pak Lah telah menyatakan hasratnya untuk menyelesaikan beberapa agenda pembaharuan (reform agenda) yang belum sempurna termasuk penubuhan Suruhanjaya Kehakiman, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah dan Suruhanjaya Aduan Khas.

Keputusan PRU 12 pada bulan Mac lalu menunjukkan rakyat Malaysia menuntut satu reformasi besar-besaran kepada sistem demokrasi dan perjalanan institusi-institusi negara. Rakyat sudah muak dengan amalan rasuah dan salahguna kuasa yang berleluasa, institusi pendakwaan (Peguam Negara) dan penguatkuasaan (Polis, BPR dsb.) yang lemah dan tidak bebas, institusi kehakiman yag lupus integriti, ketidakadilan penjalanan pilihanraya dan SPR yang tidak bebas, kesempitan bersuara, media yang dikongkong, penggunaan akta-akta drakonian, tekanan politik ke atas kakitangan kerajaan (akujanji dsb), ke atas cendikiawan dan mahasiswa dan macam-macam lagi.

Kesemua kemerosotan nilai kebebasan dan keadilan serta nilai demokrasi ini berlaku secara berleluasa pada zaman pemerintahan Dr Mahathir selama 23 tahun. Dr Mahathir merupakan seorang pemimpin yang bijak dan mempunyai wawasan tinggi untuk negara. Bagi memudahkan beliau melaksanakan rancangan pembangunan negara, beliau berusaha mengurangkan gangguan dengan menguasai dan menghadkan kuasa pada institusi-institusi negara. Maka kuasa tertumpu kepada kuasa eksekutif dan Perdana Menteri sendiri.

Institusi semak dan imbang (check and balance) di luar kerajaan juga dikuasai. Media, NGO dan cerdik pandai hilang taring dan keberanian untuk menegur. Yang tinggal menegur hanya parti-parti pembangkang!

Pemimpin-pemimpin dalam UMNO pula memang tidak berani menyanggah Dr Mahathir, mereka tahu mereka banyak beban (fail penyiasatan, salahlaku dsb) yang memang dalam pengetahuan Dr Mahathir. Kalau cuba menongkah arus, jawabnya esok agensi penyiasatan akan bertandang ke pejabat. Begitulah keadaannya. Jadi Dr Mahathir tak akan diganggu.

Ya, dengan cara begitu akhirnya Dr Mahathir mampu untuk tumpukan perhatian kepada rancangan pembangunan negara. Tapi pada masa yang sama beliau telah merosakkan sistem-sistem dan institusi-institusi dalam negara. Secara zahirnya Malaysia kelihatan membangun dan hebat, tetapi hakikatnya negara sedang menanggung kerosakan dalaman yang teruk yang mampu meruntuhkan negara pada masa depan. Itulah beban yang ditinggalkan untuk Pak Lah.

Persoalannya, mampukah Pak Lah sempurnakan agenda pemulihan dan pembaharuan dalam baki masa pemerintahan yang ada 5 bulan lagi?

(Bersambung selepas ini...)

Tuesday, October 7, 2008

Masa Depan Demokrasi

Saya berpeluang menonton debat dua calon Presiden US, Barack Obama dan John Mc Cain pada 27 September lalu dan debat dua calon Naib Presiden, Joe Biden dan Sarah Palin pada 2 Oktober lepas.

Saya tidak berniat untuk mengulas isi perdebatan atau memberikan undi kemenangan kepada mana-mana pendebat dalam tulisan ini, cuma saya nak mengulas proses pemilihan pemimpin dalam sebuah lagi negara yang mengamalkan sistem demokrasi.

Pertamanya, saya cukup tertarik dengan amalan debat tersebut. Amalan debat terbuka antara calon presiden bagi Pilihanraya Umum di US telah bermula sejak tahun 1960 antara John F Kennedy dan Richard Nixon. Calon presiden yang telah dipilih oleh parti masing-masing akan bertemu dalam satu debat yang akan membincangkan isu-isu penting negara, isu-isu kontroversi dan perbincangan polisi.

Di pentas inilah, calon-calon tersebut akan menunjukkan kewibawaan masing-masing dalam penguasaan isu-isu yang dibincangkan dan berpeluang untuk membentangkan visi dan cadangan polisi terbaik mereka untuk dilaksanakan sekiranya mereka terpilih menjadi Presiden.

Saya percaya rakyat Malaysia juga mengidamkan suasana yang sama dalam Pilihanraya Umum kita. Tapi ia tak berlaku.

Pada musim kempen PRU-12 baru-baru ini, Presiden PAS secara peribadi telah mengemukakan cadangan kepada Presiden UMNO dan menawarkan diri untuk berdebat samada antara beliau dengan Presiden UMNO atau Timbalan Presiden PAS dengan Timbalan Presiden UMNO. Tapi malangnya, hingga ke hari terakhir kempen, pihak UMNO tidak memberikan sebarang jawapan.

Keduanya, bagaimana rakyat US menitik berat soal integriti dan kemampuan (kompetensi) pemimpin yang bakal mereka pilih. Setiap calon mesti menunjukkan penguasaan mereka dalam isu negara dan mampu mengulas dan membentangkan cadangan dan polisi secara konstruktif kepada rakyat.

Sarah Palin umpamanya menerima kritikan hebat kerana gagal memberikan ulasan meyakinkan dalam beberapa siri temuramah sebelum debat tersebut. Beliau menanggung beban untuk membuktikan kemampuannya dalam siri kempen yang tinggal hanya beberapa hari lagi.

Pengundi Malaysia dalam PRU-12 baru-baru ini menunjukkan peningkatan kematangan dalam memilih pemimpin dan kerajaan. Mereka mampu menilai prestasi pemimpin dan kerajaan yang ada dan mampu menyuarakan rasa tidak puas hati mereka melalui peti undi.

Kita mengharapkan kesedaran politik sebegini akan makin subur di Malaysia terutamanya di kalangan generasi muda. Insha Allah.